Penerbit, pengarah filem harap penonton kembali ke pawagam


Zaim Ibrahim

Filem Roh terbitan syarikat Kuman Pictures akan ditayangkan bermula 6 Ogos ini.– Gambar Facebook, 18 Julai, 2020.

PENERBIT dan pengarah filem tempatan tidak meletakkan harapan tinggi filem mereka akan menarik penonton selepas Putrajaya membenarkan pawagam dibuka semula setelah hampir empat bulan ditutup bagi membendung penularan Covid-19.

Mereka lega dengan keputusan kerajaan melonggarkan sekatan ke atas pawagam namun sedar keadaan sudah tidak lagi sama seperti sebelum perintah kawalan pergerakan yang dikenakan sejak 18 Mac lalu.

Penerbit Amir Muhammad berkata beliau hanya berharap ada yang datang menonton filem Roh terbitan syarikatnya Kuman Pictures, yang akan ditayangkan bermula 6 Ogos ini.

“Rezeki di tangan Allah. Kami sasarkan semua orang yang menontonnya akan merasai pengalaman yang berbaloi.

“Kami tak pernah sasarkan jumlah kutipan (untuk filem ini),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Roh, sebuah filem genre seram, akan jadi filem Malaysia pertama yang masuk ke pawagam selepas kerajaan melonggarkan lagi sekatan untuk membuka semula ekonomi.

Filem itu ditayangkan pada 19 Mac, namun kerajaan mengumumkan PKP berkuat kuasa sehari sebelumnya.

“Oleh sebab Roh memang dibuat untuk tayangan pawagam, kami memutuskan untuk tetap tayang di sana dengan prosedur operasi standard (SOP) biarpun ada risiko pengunjung berkurangan,” katanya.

Jelas Amir, pihak bersedia menghadapi keadaan jumlah penonton yang menurun berbanding keadaan sebelum PKP.

“Selepas tayangan di pawagam, filem ini akan masuk ke saluran berbayar untuk dinikmati oleh mereka yang tak mahu atau tak dapat ke pawagam,” katanya.

Filem Mencari Rahmat kini menunggu tarikh tayangan baharu dijangka sebelum akhir tahun ini. – 18 Julai, 2020.

Penonton kurang, pawagam laksana SOP

Sementara itu, pengarah Al Jafree Md Yusop pula berkata pihak bersedia menghadapi kemungkinan penonton akan berkurangan kerana pawagam hanya dibenarkan beroperasi dengan mengurangkan hampir separuh jumlah tempat duduk.

Bagaimanapun beliau optimis filem arahannya Mencari Rahmat akan dapat sambutan kerana ia sebuah filem komedi.

“Saya rasa masyarakat memerlukan sesuatu yang boleh menceriakan mereka… dari awal tahun 2020 kita berhadapan dengan wabak Covid 19.

“Ramai yang tertekan tahun ini dan diharapkan, filem Mencari Rahmat mampu beri satu ketenangan daripada keresahan,” katanya.

Mencari Rahmat tidak pernah ditayang di pawagam berbayar walaupun filem ini siap sejak dua tahun lalu. Dalam tempoh itu, ia ditayangkan di festival filem dan beberapa majlis tayangan tertutup.

Mengikut jadual, Mencari Rahmat sepatutnya menemui penonton pada 18 Jun. Ia kini menunggu tarikh tayangan baharu yang dijangka sebelum akhir tahun ini.

Mencari Rahmat ditayangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah pada awal bulan ini dalam rangka lawatan beliau meninjau operasi pawagam dengan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Roh dan Mencari Rahmat adalah dua antara beberapa filem tempatan yang tertangguh tayangannya selepas PKP berjalan. Antara filem yang juga tertunda tayangannya ialah Zombitopia, Eye on The Ball, Kenderaan Berat Ikut Kiri, Masuk Jawi, dan Salina.

Filem genre komedi Mencari Rahmat sepatutnya menemui penonton pada 18 Jun lalu. – 18 Julai, 2020.

Finas perlu bantu

Dalam pada itu, pengarah filem Takut ke Tak? Muzzamer Rahman berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan melancarkan promosi menggalakkan orang ramai datang ke pawagam.

“Finas barangkali boleh bantu melalui kempen “kembali ke pawagam” atau “kempen tonton filem Malaysia”. Caranya dengan memberi bantuan promosi atau hebahan di media tentang filem Malaysia yang akan ditayangkan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kemudahan pinjaman RM100 juta melalui  Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk membantu syarikat penerbitan filem dan televisyen menghasilkan lebih banyak produksi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Al Jafree, yang juga pengasas Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) berkata bantuan melalui Finas itu berita gembira buat penggiat filem tempatan. Bagaimanapun beliau mengingatkan, yang lebih penting daripada pengumuman bantuan ialah kaedah pelaksanaannya.

“Kita nak tengok bagaimana Finas mampu tangani masalah ini terutama kepada filem-filem tempatan,” katanya.

Jelasnya, filem Roh yang akan ditayang awal Ogos ini akan jadi perhatian semua penggiat filem untuk melihat sejauh mana penonton bersedia untuk ke pawagam semula.

“Filem Roh itu penting sebagai penanda aras sama ada filem lain okay atau tidak ditayangkan,” katanya.

Kurang separuh panggung

Setakat ini, pengusaha pawagam berkata mereka mendapat sambutan positif penonton sejak pawagam dibuka semula pada 1 Julai.

Rangkaian Golden Screen Cinemas menyaksikan jumlah penonton yang memberangsangkan terhadap tayangan filem asing walaupun beberapa judul itu boleh juga ditonton di saluran penstriman langsung.

“Ini petunjuk yang baik. Ini membuktikan penonton kembali ke pawagam kerana teknologi tontonan yang tiada di rumah,” kata ketua pegawai eksekutif GSC Sdn Bhd Koh Mei Lee.

Beliau merujuk kepada sistem bunyi yang canggih dan suasana penontonan yang lebih selesa di pawagam berbanding di rumah atau melalui telefon pintar.

“Filem animasi Digimon Adventure, yang disiarkan secara eksklusif di GSC telah menjadi filem terbesar di Malaysia sejak dua minggu lalu,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan The Malaysian Insight.

Mengenai SOP yang perlu dipatuhi yang mengurangkan jumlah penonton, Koh berkata pihaknya sedar mereka tidak lagi boleh bergantung pendapatan hanya daripada jualan tiket.

Beliau menjelaskan pihaknya sudah mengembangkan perniagaan kepada penjualan makanan untuk pesanan dari rumah serta iklan digital dan sewa ruang untuk pengurusan majlis. – 18 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen