Mahkamah diberitahu Najib mahu perjanjian IPP selesai sebelum pilihan raya 2013


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang bagi jumlah yang sama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mahu pemerolehan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) Genting Sanyen Sdn Bhd disegerakan dan dilakukan sebelum pilihan raya 2013 diadakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur didengar hari ini.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan beliau dimaklumkan perkara itu oleh perantara 1MDB Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low pada 2012. 

Shahrol ketika diperiksa balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohamed menjelaskan sebab tiada mesyuarat lembaga pengarah diadakan mengenai pembelian itu. Saksi berkata Low memberitahunya bahawa Najib mahu perkara itu dipercepatkan.

Wan Aizuddin: Apa alasan untuk kamu percayakannya (Low)?.  

Shahrol: Saya tidak ingat bila, saya rasa ia selepas pertegahan 2012. Datuk Seri Najib diketahui akan mengumumkan pilihan raya umum ke 12 atau ke 13 yang diadakan pada 2013. namun ketika itu timbul pelbagai spekulasi Parlimen akan dibubarkan.  
 
Jho secara khusus memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib mahu perkara ini dilakukan sebelum Parlimen dibubarkan kerana keputusan seperti itu tidak dapat dilaksanakan di bawah Parlimen sementara (kerajaan).

Wan Aizuddin: Kamu telah membuat tuduhan serius terhadap anak guam saya. 

Shahrol sebelum ini memberi keterangan bahawa Najib telah meluluskan proses untuk membeli Genting Sanyen pada tahun 2012 atas kapasiti sebagai menteri kewangan yang mewakili Menteri Kewangan Inc.

Proses pemerolehan diberi nama ‘Project Greyhound’ dan melibatkan 100% ekuiti dalam Mastika Lagenda Sdn Bhd. 1MDB telah meminta persetujuan Najib sebagai menteri kewangan yang mewakili MOF Inc, dan sebagai pemegang saham yang memiliki semua saham 1MDB.

Najib telah meluluskan kemudahan pinjaman tidak melebihi RM1 bilion serta bon AS$1.75 bilion (AS$5.25 bilion ketika itu) pada 3 Ogos 2012, untuk pemerolehan Genting Sanyen, menurut bukti yang dikemukakan oleh pendakwa raya.

Penerbitan bon tersebut dijamin oleh 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC), dengan Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan dan peguam Jasmine Loo sebagai wakil pasukan pelaburan 1MDB.
 
Mengenai resolusi pekeliling pengarah 1MDB bertarikh 10 Ogos 2012 dan bertajuk “cadangan pengambilalihan Mastika Lagenda Sdn Bhd”, saksi memberitahu mahkamah bahawa ia adalah persetujuan pengambilalihan Mastika Lagenda yang memiliki 75% pegangan saham dalam Genting Sanyen Power Sdn Bhd yang memiliki Stesen Janakuasa Genting Sanyen Kuala Langat.
 
Pendakwa telah menuduh bahawa pengambilalihan 1MDB dua syarikat pengeluar tenaga bebas - Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd - mengakibatkan Najib memperoleh sejumlah RM90,899,927.28 sebagai dorongan. Aset tersebut juga digambarkan oleh pendakwa sebagai nilai meragukan.

Najib berdepan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang bagi jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabit kesalahan.– 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen