Polis kesan 13 sindiket tipu pelaburan sejak PKP, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Saiful Azly Kamaruddin mendedahkan 13 sindiket penipuan bergiat aktif sepanjang PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Julai, 2020.

POLIS mengesan 13 sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang bergiat aktif sepanjang kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac lalu, kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Saiful Azly Kamaruddin.

Katanya, sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk melakukan kegiatan penipuan.

“Sejak 1 Januari hingga 15 Julai, kami menerima 672 laporan polis membabitkan kes pelaburan bersindiket dengan jumlah kerugian RM93.7 juta dan daripada itu, 467 adalah kes pelaburan online dengan kerugian, RM52.3 juta.

“Daripada laporan polis yang diterima, kami mengesan 13 sindiket penipuan pelaburan yang aktif sepanjang PKP yang biasanya menjanjikan keuntungan pelaburan berganda dalam tempoh masa singkat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Saiful, daripada 13 sindiket itu, pihaknya memberi tumpuan kepada sindiket yang mengakibatkan kerugian terbanyak iaitu i-Rakyat Trade, sebuah skim pelaburan tidak wujud yang dipromosi melalui Facebook.

“Sindiket ini mula beroperasi pada Mac, sewaktu PKP fasa pertama dan tamat beroperasi pada Jun.

“Modus operandi mereka ialah menawarkan empat jenis pelaburan dengan modal antara RM800 ke RM4,800 dan mendapat pulangan lebih 10 kali ganda dalam masa dua hari.

“Sindiket ini menggunakan darkweb untuk mengesan dan memancing mangsa dan kebanyakan ahli sindiket pakar dalam bidang mata wang krypto, binary option (analisis pelaburan dalam darkweb) dan teknologi maklumat,” katanya.

Hasil operasi yang dilancarkan pada 14 Julai, 10 ahli sindiket termasuk seorang wanita berusia 19 hingga 31 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Julai, 2020.

Menurut Saiful, hasil operasi yang dilancarkan pada 14 Julai, 10 ahli sindiket termasuk seorang wanita berusia 19 hingga 31 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.

“Setakat ini 22 mangsa berusia 30 hingga 50 tahun tertipu dengan sindiket ini membabitkan kerugian RM200 ribu.

“Polis turut merampas enam buah kereta mewah dan barangan mewah yang dipercayai dibeli hasil sindiket penipuan,” katanya. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen