Zahid lancar Skuad Penerangan Anak Muda Umno


Menurut Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar, skuad itu yang dianggotai anak muda daripada pelbagai latar belakang termasuk pemidato, penceramah agama dan pengendali media sosial akan memberi penjelasan dan berdialog dengan generasi muda berhubung isu-isu semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Skuad Penerangan Anak Muda (SPAM) yang akan bertindak sebagai jentera penerangan Pemuda Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar berkata, skuad itu yang dianggotai anak muda daripada pelbagai latar belakang termasuk pemidato, penceramah agama dan pengendali media sosial akan memberi penjelasan dan berdialog dengan generasi muda berhubung isu-isu semasa.

“Jika kita hanya mendekati anak muda yang menganggotai Umno, jumlahnya hanya dalam lingkungan 1.9 juta pengundi tetapi kita ada kira-kira 15 juta pengundi pada PRU14 yang mana ada yang tidak menganggotai mana-mana parti.

“Jadi, mereka ini (anggota SPAM) dilengkapkan dengan segala pengetahuan berkaitan isu-isu semasa dan mampu bercerita serta duduk bersembang dengan anak-anak muda dalam kumpulan kecil atau besar di mana-mana sahaja,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran SPAM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Jamawi, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenom, Sabah berkata, ketika ini SPAM mempunyai 280 anggota dan bilangan itu akan terus ditambah melalui kursus-kursus kepada anggota Pemuda Umno bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Acara pelancaran skuad itu diadakan sempena majlis makan tengah hari Zahid bersama 2,978 perwakilan yang akan bersidang dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno esok.

Hadir sama Naib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dan Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin.

Pada majlis itu Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti turut menyerahkan wang khairat kematian kepada 16 waris ketua dan anggota jawatankuasa Pemuda Umno di peringkat negeri, bahagian dan cawangan yang telah meninggal dunia.

Bagi pihak Wanita Umno pula, Zahid menyampaikan Anugerah Ibu Terbaik Bangsa kepada 105 bekas ketua Wanita Umno cawangan di seluruh negara yang telah meninggal dunia antara Disember tahun lepas hingga November 2017.

Anugerah beserta sijil dan sumbangan khas itu diserahkan kepada 13 ketua Wanita Umno negeri untuk disampaikan kepada waris Ibu Terbaik Bangsa.

Dalam pada itu, Zahid turut menyampaikan sumbangan di bawah program Mobile Entrepreneur kepada lima usahawan wanita muda berupa sebuah motosikal dan perkakasan menjalankan perniagaan bernilai RM10,000 setiap seorang. 

Puteri Umno bertindak sebagai pemudah cara bagi usahawan wanita muda mendapatkan bantuan di bawah program itu yang dianjurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. – Bernama, 5 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen