PUTRAJAYA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Limkokwing University of Creative Technology (LUCT) berhubung papan iklan kontroversi yang memaparkan pengasasnya sebagai “Raja Afrika.”
Menteri Pendidikan Tinggi, Noraini Ahmad berkata walaupun pihak universiti sudah meminta maaf, kerajaan mahu mengetahui alasan di sebalik papan iklan itu.
“Kementerian memandang serius tuduhan perkauman terhadap LUCT yang disebarkan di media sosial. Kementerian sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk meminta penjelasan lebih lanjut daripada LUCT,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Noraini menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang bertanya apakah ada tindakan akan diambil terhadap LUCT yang terlibat dalam perkauman terutama terhadap orang Afrika.
Papan iklan menunjukkan ilustrasi digital Lim yang berdiri dengan seekor cheetah di sebelah kiri dan dikelilingi pelajar di Sierra Leone di sebelah kanan.
Petisyen dimulakan di Change.org yang berkata gambaran Lim sebagai “penyelamat” menghina pelajar Afrika.
Universiti Limkokwing sudah memberi maklum balas melalui hantaran di Twitter yang mereka sudah membuang papan iklan dan menyesali sebarang “salah faham.”
“Kami ingin memohon maaf dengan ikhas berhubung segala salah faham yang timbul.
“Kami bersatu menentang perkauman dan tidak membenarkan tindakan diskriminasi terhadap kaum tertentu.
“Di Universiti Limkokwing, kami mengiktiraf, menghormati, menghargai, dan meraikan perbezaan kami,” tulisnya.
Noraini menjelaskan walaupun pihak universiti sudah menurunkan papan iklan dan meminta maaf, tindakan tegas mesti diambil untuk memastikan Malaysia harmoni bagi pelajar antarabangsa.
“Walaupun LUCT sudah meminta maaf, kementerian akan tetap meneruskan infestasi untuk memastikan nama dan imej negara dijunjung tinggi,” kata Noraini.
Jika didapati bersalah, universiti boleh didakwa di bawah Seksyen 89 (1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 yang melarang perbezaan kaum dan agama.
“Kementerian tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan dengan kaum dan akan memastikan semua aduan mengenai perkara ini akan diselesaikan,” kata Noraini. – 16 Julai, 2020.
Komen