5 menteri belum isytihar harta, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata hanya lima daripada 32 ahli kabinet belum mengisytiharkan harta mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2020.

HANYA lima daripada 32 ahli Kabinet yang belum mengisytiharkan harta mereka kepada kerajaan, kata Muhyiddin Yassin.

Tanpa mendedahkan identiti mereka, ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun berkata, 97% daripada menteri Kabinetnya sudah mengisytiharkan harta mereka selepas dilantik pada Mac lalu.

“Setakat ini saya nak maklumkan 97% ahli Kabinet dah serahan (perisytiharan harta) mereka, ada lagi lima belum serahkan, saya tak payah sebutkan di sini,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata, terdapat juga timbalan menteri dan ahli-ahli Parlimen PN yang belum mengisytiharkan harta mereka disebabkan mereka masih baharu.

“Dalam pentadbiran dahulu semua sudah isytihar, di sini (kerajaan PN) banyak yang baharu dan kita akan selesaikan sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan ahli Parlimen Teo Nie Ching (Kulai-Pakatan Harapan) yang meminta Muhyiddin menjelaskan status perisytiharan harta anggota Kabinet beliau ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal undang-undang Takiyuddin Hassan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, paparan aset-aset ahli Parlimen di laman portal Suruhanjaya Pengesahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan dibuat selepas Kabinet memutuskan kaedah baharu.

Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata, paparan berkenaan kemudiannya boleh diakses orang awam.

“Pemaparan hanya akan dibuat setelah kabinet memutuskan satu kaedah baru dalam pemaparan mengenai jumlah harta/pendapatan yang telah diisytiharkan.  

“Seperti amalan terdahulu dan seterusnya akan dipaparkan di portal SPRM yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja termasuklah orang awam,” katanya. – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen