PERBICARAAN kes rasuah Rosmah Mansor yang melibatkan projek solar hibrid di Sarawak ditangguh hari ini apabila peguamnya Akberdin Abdul Kadir tidak sihat untuk meneruskan sesi pemeriksaan balas terhadap saksi.
Perbicaraan akan disambung pada 3 Ogos.
Terdahulu awal pagi tadi kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan dilihat keluar dari kamar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan.
Timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram ketika ditemui pemberita mengesahkan penangguhan tersebut.
Beliau berkata mereka tidak mempunyai pilihan selain bersetuju penangguhan itu kerana Akberdin adalah peguam bela yang ditugaskan memeriksa semula saksi ke-16 perbicaraan rakan kongsi Jepak Holdings Rayyan Radzwill Abdullah.
“Dia adalah peguam yang bertugas untuk memeriksa semula saksi ini.
“Jadi kami tidak ada pilihan untuk membantah kerana beliau tidak dapat melakukan pemeriksaan balas. Beliau tidak dapat bercakap,” katanya kepada wartawan.
Akberdin ketika ditemui The Malaysian Insight mengesahkan beliau tidak dapat meneruskan sesi hari ini.
Semalam Rayyan memberi keterangan bahawa isteri bekas perdana menteri itu diberi RM6.5 juta melalui dua pembayaran atas peranannya berkaitan projek itu.
Rosmah, 69, berdepan tiga tuduhan rasuah, salah satunya ialah meminta RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikanya mendapatkan kontrak bernilai RM1.25 bilion bagi melengkapkan 369 sekolah di Sarawak dengan sistem hibrid suria.
Dia juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017. – 16 Julai, 2020.
Komen