Kadar pengangguran dijangka bertambah buruk menjelang Oktober, kata pakar 


Sheridan Mahavera

Permintaan yang lembap di dalam dan luar negara akibat Covid-19, menjejaskan perniagaan dan industri serta menyebabkan kehilangan pekerjaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

BILANGAN pengangguran pada Mei yang melebihi 800,000 kelihatan teruk tetapi keadaan bakal menjadi lebih buruk walaupun ekonomi sudah dibuka semula, kata kumpulan industri dan pakar.

Permintaan yang lembap di dalam dan luar negara ketika wabak koronavirus yang masih ada menjejaskan perniagaan dan industri, berterusan menyebabkan kehilangan pekerjaan, kata mereka.

Titik perubahan penting bagi ekonomi akan berlaku pada Oktober apabila banyak skim pasca-Covid-19 dilancarkan Putrajaya mulai berakhir, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Moratorium pembayaran pinjaman juga dijangka tamat pada minggu akhir September dan perniagaan akhirnya akan menyaksikan sama ada mereka dapat mengekalkan pendapatan mencukupi untuk terus bertahan dan membayar pekerja.

“Majikan harus menanggung beban permintaan yang lemah di pasaran dan bertahan sendiri setelah semua skim Prihatin dan Penjana berakhir pada September,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

Contohnya, sejak April hingga September, perniagaan dibantu oleh Program Subsidi Upah (WSP), yang membolehkan mereka menerima kira-kira RM600 bagi setiap pekerja berpendapatan di bawah RM4,000 selagi pekerja ini diambil bekerja.

Menurut data daripada Skim Insurans Pekerjaan (EIS), skim ini membantu perniagaan terus mengekalkan gaji kira-kira-kira 2.7 juta pekerja.

“Jadi bermula pada Oktober dan hingga November, kita akan mulai melihat sepenuhnya kehilangan pekerjaan ketika para majikan memulakan langkah pemotongan kos seperti pemberhentian pekerja.”

“Jadi kerajaan harus mempertimbangkan untuk melanjutkan insentif ini hingga akhir tahun dan mengumumkannya lebih awal agar majikan tidak mengambil kesempatan melakukan tindakan drastik dan membuang pekerja sebelum September.”

Komen Shamsuddin itu susulan pendedahan bilangan pasaran buruh bagi Mei daripada Jabatan Perangkaan yang menunjukkan kadar pengangguran meningkat 0.3% pada April kepada 5.3% pada Mei atau melibatkan 826,100 individu.

Namun kadar kehilangan pekerjaan dari April hingga Mei lebih rendah berbanding Mac hingga April, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang menyaksikan hampir semua ekonomi ditutup.

Sebahagian ekonomi mula dibuka semula dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 12 Mei dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada Jun. – 16 Julai, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen