Anwar persoal kaedah ujian Covid-19 dibuat KKM


Noel Achariam

Walaupun KKM berjaya mengekang penularan teruk wabak, kadar pengujian perlu ditingkatkan demi kesihatan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

ANWAR Ibrahim hari ini mempersoalkan keupayaan ujian Covid-19 dibuat Kementerian Kesihatan dan jumlah sebenar kes positif di negara ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata walaupun taklimat harian Covid-19 dibuat KKM menenangkan rakyat, persoalan wujud tentang ketepatan jumlah sebenar kes positif.

Beliau turut mempersoalkan kaedah ujian dibuat KKM.

“Saya bukanlah pakar tetapi ada pertikaian tentang kaedah ujian yang mereka gunakan.

“Misalnya apabila ujian dibuat menggunakan ‘Antigen Rapid Test Kits’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), keputusan ujian adalah negatif.

“Tetapi, bila mereka (penumpang) sampai di Kuching dan diuji menggunakan ‘polymerase chain reaction (PCR)’, keputusannya adalah positif,” katanya di Dewan Rakyat.

Ketua pembangkang itu berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak menggunakan kaedah PCR yang lebih berkesan.

Beliau turut membandingkan keupayaan ujian Malaysia yang rendah berbanding Kanada dan Australia.

“Kita mahu tahu jumlah kes positif berbanding ujian yang dibuat.

“Kadar ujian Australia adalah 1.98 untuk 1,000 orang, dengan 183 kes positif. Kanada pula 1.03 untuk 1,000 orang, dengan 243 kes positif.

“Kadar Malaysia adalah 0.18 untuk 1,000 orang dan keputusannya tujuh kes jangkitan.”

Tambahnya, perlu ada ketelusan bagaimana ujian dibuat.

Anwar yang memuji usaha KKM mengekang wabak itu, bagaimanapun menambah, yang jumlah ujian dibuat juga penting.

“Bagi memastikan keselamatan rakyat, keupayaan pengujian perlu ditingkatkan.”

Setakat semalam, KKM sudah mengambil sampel daripada 855,119 orang dengan 8,729 daripadanya didapati positif Covid-19.

Malaysia melaporkan lima kes baharu hari ini, menjadikan 86 kes Covid-19 masih aktif dalam negara.

Sejumlah 8,526 lagi disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen