SPRM jamin tak buka kes libatkan Pakatan tanpa bukti


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan buka kes semula semata-mata untuk membuka siasatan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan tidak akan membuka kes membabitkan kerajaan Pakatan Harapan sekiranya tidak menemui bukti baharu.

Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali, berkata pihaknya juga tidak akan membuka kes itu semula tanpa sebarang maklumat untuk melakukan siasatan.

“Kami tidak akan membuka kes terdahulu atau membabitkan kerajaan terdahulu hanya kerana kami mahu membukanya sahaja.

“Apa sahaja kes adalah berdasarkan maklumat dan bukti baharu yang boleh untuk kita meneruskan untuk siasatan baharu,” katanya dalam wawancara bersama media di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Norazlan menyatakan tidak timbul isu SPRM sengaja mahu membuka semula kes membabitkan kerajaan terdahulu sekiranya mereka mempunyai maklumat baru.

“Tindakan kita bergantung kepada undang-undang dan SPRM mengikut undang-undang,” katanya.

Kes seperti dakwaan rasuah dalam projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion kini disiasat semula oleh SPRM selepas Pakatan Harapan tidak lagi memerintah.

Turut menjadi perhatian siasatan melibatkan setiausaha politik bekas menteri pertahanan yang ditahan berhubung dakwaan penerimaan wang rasuah.

Individu berkenaan ditahan minggu lalu bagi membolehkan sebuah syarikat memperolehi satu projek secara runding terus bernilai RM56 juta di Kementerian Pertahanan. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen