Rukun Negara dan ahli Parlimen


MINGGU lepas merupakan ulang tahun Rukun Negara ke-50 tahun. Ia menggariskan lima prinsip bagi mencapai objektifnya.

Prinsip yang terakhir ialah “Kesopanan dan Kesusilaan” yang merujuk pada sifat sopan santun dan saling menghormati bagi membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni.

Namun pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu, saya sedikit kecewa melihat gelagat ahli parlimen yang berbahas.

Kelakuan mereka masing-masing saling tidak tumpah seperti manusia yang tidak bertamadun.

Wakil rakyat seharusnya seorang yang berbudi bahasa tinggi serta mempunyai kelayakan yang lain kerana kerjanya ialah berkhidmat untuk rakyat.

Maka beliau seharusnya mempunyai budi bahasa yang tinggi dan sopan untuk menyantuni segenap masyarakat yang beliau wakili.

Namun pada Isnin lalu, saya sangat kecewa dengan perilaku sebilangan mereka. 

Insiden Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperlekeh dan diejek ketika ingin berbahas sangat kebudak-budakan dan tidak matang untuk standard wakil rakyat. 

Adakah kerana beliau seorang anak muda beliau boleh diperlekehkan sebegitu di dewan yang mulia itu? 

Bagi saya hormat itu bukan sahaja perlu dimiliki, bahkan ia juga perlu diberi. 

Sifat hormat menghormati juga bukan hanya tertakluk kepada anak muda menghormati orang yang lebih berusia, tetapi orang yang lebih berusia juga harus menghormati perasaan dan pandangan anak muda kerana anak muda adalah generasi yang menjalani arus masa kini.

Pandangan mereka adalah pandangan semasa yang tidak boleh diperlekehkan jika kita mahu bergerak sealiran dengan zaman.

Insiden itu telah mencetuskan kemarahan anak muda terutamanya yang aktif di media sosial.

Mereka memperkenalkan tanda pagar #MasaKita – iaitu untuk menyeru dan membangkitkan kesedaran untuk anak muda mula bertindak menolak wakil rakyat yang sudah berusia yang tidak mencerminkan langsung keperibadian sebagai seorang wakil rakyat.

Selain insiden itu, satu lagi insiden yang paling tidak seharusnya terjadi ialah apabila Ahli Parlimen Baling Azeez Rahim mengeluarkan kata-kata seksis dan rasis kepada Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto. 

Ini perilaku yang tidak boleh diterima sama sekali. 

Sebagai seorang ahli Parlimen yang membawa gelaran “Yang Berhormat”, seharusnya beliau mengangkat gelaran itu selari dengan perilakunya. 

Beliau juga seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata begitu kerana sifat rasis dan seksis tidak sepatutnya ada pada seorang wakil rakyat, yang bekerja menyantuni rakyat. 

Apakah sifat begini yang beliau bawa ketika mendekati dan menyantuni masyarakat di tempat beliau?

Insiden begini adalah bukti prinsip Rukun Negara hanyalah menjadi sebutan di bibir kita sahaja dan bukan tersemat rapi di dalam hati dan menjadi jati diri. 

Seharusnya mereka yang menjadi wakil rakyat ini adalah individu yang menjadi ejen ataupun contoh keberkesanan prinsip Rukun Negara.

Namun saya tidak lihat hal ini terjadi. 

Bahkan ada prinsip Rukun Negara kita ini seolah-olah dipijak dan tiada nilai bagi mereka melalui tindak tanduk mereka untuk kekal berkuasa. 

Jadi apa nilai Rukun Negara kita ini sebenarnya? – 15 Julai, 2020.

* Noor Suhana Ishak, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen