42 kontraktor sekolah didakwa kes penyata kewangan palsu


Kalidevi Mogan Kumarappa

SERAMAI 42 kontraktor didakwa bagi kes mengemuka dokumen penyata kewangan palsu untuk mendapatkan tender pengurusan kantin di sekolah di seluruh negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mengesahkan sejumlah 46 orang pengusaha ditahan agensi itu sejak tahun lalu dan 49 kertas siasatan dibuka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Kushairi Yahaya mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight berhubung kes yang melibatkan 793 kontraktor.

“Sebanyak 49 kertas siasatan dibuka dan 46 individu sudah ditahan berhubung siasatan perolehan tender pengurusan kantin di seluruh negara.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, 42 daripadanya sudah dihadapkan ke mahkamah dan sejumlah 13 orang telah disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ia melibatkan tiga jenis kontrak: bekalan makanan bermasak (BMB), kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) dan perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK).

Menurutnya, kesalahan mengemukakan dokumen palsu merupakan perbuatan jenayah yang serius yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun sama.

Undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, katanya.

“SPRM memberi amaran kepada mana-mana pihak untuk menghentikan perbuatan tersebut,” katanya.

Kes itu mula mendapat perhatian apabila kementerian pendidikan meneliti hampir 800 kontrak perkhidmatan sekolah dan institusi bawah kementerian itu yang disyaki diperolehi secara menipu.

The Malaysian Insight pada Ogos tahun lalu melaporkan lebih 140 kontrak dibatalkan pada waktu itu kerana disahkan terlibat dengan penipuan.

Pada September, Kementerian Pendidikan menamatkan kontrak 16 syarikat pembekal makanan bermasak untuk kantin sekolah.

The Malaysian Insight pada waktu itu melaporkan, ia melibatkan kesalahan memalsukan dokumen penyata bank semasa menyertai tender untuk mendapatkan kontrak berkenaan.

Kementerian juga menyebut, lebih 400 tender kontrak dibatalkan membabitkan pelbagai perkhidmatan di sekolah seluruh negara termasuk beberapa Kolej Matrikulasi.

Kementerian juga pada waktu itu dilaporkan sedang menamatkan tender beberapa syarikat lain berperingkat-peringkat, merangkumi perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan bangunan. – 15 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen