Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di Maeps ditutup


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyaksikan pesakit terakhir dibenarkan keluar dari hospital sementara di Maeps pada Jumaat. – Gambar Facebook, 15 Julai, 2020.

PUSAT kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang akan ditutup hari ini selepas merawat 1,362 pesakit sejak April.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkannya hari ini dalam pesanan WhatsApp kepada The Malaysian Insight.

Taman ini diubah menjadi hospital sementara dengan kapasiti 600 tempat tidur pada akhir Mac untuk membantu pihak berkuasa menguruskan sebarang kemungkinan wabak virus besar-besaran.

Ia kemudian digunakan sebagai pusat kuarantin dan rawatan mereka yang berisiko rendah.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyaksikan pesakit terakhir dibenarkan keluar dari pusat itu pada Jumaat.

Hospital sementara itu menerima pesakit pertama pada 12 April.

Kira-kira 86% pesakit dirawat di situ adalah warga asing.

Pada 25 Mei, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pendatang asing tanpa dokumen yang dijangkiti koronavirus akan dirawat di pusat tersebut.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang dikuarantin di Maeps kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Perkara ini ditegaskan lagi oleh Noor Hisham pada 30 Mei selepas seorang warga Bangladesh yang tidak berdokumen dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh cuba melarikan diri.

Kementerian kemudian memindahkan lelaki itu dan 25 pendatang tanpa dokumen lain yang juga dirawat di hospital ke pusat tersebut.

“Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita dapat meningkatkan keselamatan di Maeps dan memastikan kita memberikan rawatan yang baik untuk mereka,” kata Noor Hisham.

“Ini adalah keprihatinan kami sebelum kami boleh menggunakan hospital dan kemudahan lain untuk pendatang tanpa izin.”

Dengan penutupan hospital sementara di Maeps, pendatang tanpa dokumen yang dijangkiti Covid-19 kini ditempatkan di pusat akademi imigresen di Port Dickson. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen