Jadikan hutan Ulu Muda taman negara demi jaminan keselamatan makanan


Sheridan Mahavera

Persatuan Pencinta Alam Malaysia mahu kerajaan melindungi hutan di Perak dan Johor yang diancam pembalak dan peladang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

PERIKATAN Nasional (PN) perlu memberi keutamaan mewartakan hutan Ulu Muda di Kedah sebagai taman negara yang dilindungi ketika pandemik Covid-19 mendedahkan kekurangan jaminan keselamatan makanan Malaysia, kata kumpulan pemuliharaan tertua di negara ini.

Selain menjadi sumber yang membekalkan air kepada Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, hutan Ulu Muda juga penting bagi skim penanaman padi Muda yang dikenali sebagai jelapang padi negara.

Penanaman padi Muda menghasilkan 40% daripada semua padi yang di negara ini dan ia bergantung kepada air yang dikumpulkan di tiga empangan di tengah hutan Ulu Muda, kata Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Tetapi keputusan kerajaan Kedah yang baharu membenarkan pembalak masuk ke Ulu Muda akan mengancam ekosistem penting, kata Presiden MNS Prof Dr Ahmad Ismail.

Kini dengan wabak yang semakin terkawal, pentadbiran perlu meneruskan dasar pemuliharaan yang lalu, kata Ahmad kepada The Malaysian Insight.

Ini juga termasuk menetapkan sempadan yang ketat di sekitar taman negara yang merangkumi hutan penting seperti Ulu Muda, katanya.

Taman ini termasuklah Belum Temenggor di Perak dan Endau Rompin di Johor yang diancam oleh pembalak dan peladang.

“Dalam hal undang-undang dan dasar pemuliharaan, kita adalah yang terbaik di dunia. Tetapi masalah kita adalah pelaksanaan dasar tersebut,” kata Ahmad.

Ada ketikanya, kerajaan persekutuan menerapkan dasar yang baik tetapi tidak diterjemahkan kepada pelaksanaan oleh kerajaan negeri, yang mempunyai hak mutlak terhadap sumber semula jadi, tanah dan air.

“Kerajaan harus seiring dari segi dasar, pelaksanaan dan penguatkuasaan dan antara kementerian persekutuan dan negeri.”

Sebagai contoh, kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) sebelum ini menetapkan hutan tertentu sebagai taman negara yang melarang pembalakan atau aktiviti komersil.

“Tetapi jika hutan ditetapkan sebagai taman negara mengapa pembalakan masih berlaku di sana? Inilah masalahnya,” kata Ahmad.

Bekas kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) berhasrat mengubah Ulu Muda menjadi taman negara.

Sebelum digulingkan, menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir menggantung kerja pembalakan di Ulu Muda sementara ia ditukar menjadi taman negara.

Tidak lama setelah mengambil alih kuasa, penggantinya, Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata kerajaan negeri perlu membayar pampasan sehingga RM1 bilion jika mereka tidak dibenarkan masuk ke Ulu Muda.

Mukhriz membantah dakwaan itu, dengan berkata ia hanyalah alasan untuk meneruskan pembalakan di Ulu Muda.

Ahmad berkata pandemik Covid-19 menunjukkan bagaimana keselamatan makanan Malaysia mudah terancam jika perdagangan dan sempadan ditutup kerana ia bererti berlakunya penurunan import beras dan makanan lain.

Tanaman padi Malaysia cukup untuk memenuhi 70% keperluan domestik sementara selebihnya diimport dari Thailand, Vietnam dan India.

Semasa wabak itu, Vietnam menghentikan eksport berasnya kerana mahu menyimpan stok untuk keperluan domestik.

“Pandemik menunjukkan kepada kita betapa pentingnya hutan seperti Ulu Muda. Jika kita memusnahkan ia lebih banyak, tidak akan ada cukup air untuk sawah padi dan tidak dapat menanam padi yang mencukupi untuk penduduk kita.

“Seperti sekarang, kita bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan beras. Jika kita merosakkan pengeluaran domestik, kita akan berada dalam keadaan lebih buruk.” – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen