Tasek Gelugor saksi dilema agihan kerusi Perikatan


Zaim Ibrahim

Kemampuan PN mengagihkan kerusi majoriti Melayu di antara Bersatu, Umno dan PAS itulah yang akan menentukan kejayaannya dalam pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

TASEK Gelugor menjadi antara kawasan yang akan menentukan keupayaan Perikatan Nasional (PN) mengagihkan kerusi untuk ditandingi di kalangan parti Melayu dalam gabungan tersebut.

Penganalisis politik melihat, kemampuan PN mengagihkan kerusi majoriti Melayu di antara Bersatu, Umno dan PAS itulah yang akan menentukan kejayaannya dalam pilihan raya itu.

Kerusi ini juga menjadi tumpuan utama ketiga-tiga parti ketika saling berseteru dalam Pilihan Raya Umum ke-24 (PRU14).

Pada waktu itu, Bersatu merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) sementara Umno menerajui Barisan Nasional (BN) dan PAS mengetuai Gagasan Sejahtera Rakyat.

Bersatu seterusnya membentuk kerajaan PH selepas kejayaan gabungan itu dalam pilihan raya.

Bagaimanapun pada Februari lalu, Bersatu meninggalkan PH dan menyebabkan gabungan parti itu kehilangan kuasa di Putrajaya.

Ia seterusnya bergabung dengan Umno dan gabungan parti Sarawak, GPS untuk membentuk PN dan akan menentang PH dalam pilihan raya kelak.

Kerusi Tasek Gelugor yang menjadi perhatian ini dimenangi Shabudin Yahaya dengan tiket Umno dalam PRU14.

Beliau menewaskan calon Bersatu, Marzuki Yahya dan calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan daripada PAS dengan majoriti tipis, 81 undi.

Shabudin mendapat 18,547 undi manakala Marzuki dan Rizal masing-masing meraih 18,466 dan 14,891 undi.

Shabudin seterusnya menyertai Bersatu daripada Umno apabila parti tersebut membentu kerajaan pada 2018.

Namun kini pemimpin Umno mahu merampas semula kerusi tersebut daripada Bersatu kerana berpendapat, ia sememangnya hak parti tersebut yang memenanginya sejak 2004.

Umno Tasek Gelugor juga bertegas mahu mempertahankan kerusi Parlimen itu termasuk tiga kerusi DUN dalam kawasan itu – Permatang Berangan, Sungai Dua, dan Teluk Ayer Tawar.

Ketua Umno Bahagian Mohammad Yusoff Mohd Noor berkata, secara tradisi keempat-empat kerusi itu merupakan milik Umno dan mereka tidak akan menyerahkannya kepada mana-mana parti.

“Di Tasek Gelugor, kita tetap mempertahankan keempat-empat kerusi (satu Parlimen, tiga DUN). Sebab itu memang kerusi Umno daripada dulu.

“Kita tidak akan serah kepada sesiapa. Kita sudah memberitahu kepada Biro Perhubungan Negeri khususnya kerusi Parlimen, perlu diberikan kepada Umno.

“Asal-asalnya pun Umno pegang (waktu PRU14) tetapi (wakil rakyatnya) lompat sertai Bersatu… Itu kita punya,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Yusuff turut menawarkan diri untuk dicalonkan bertanding di kerusi tersebut.

“Di peringkat kita, kita sudah bincang mengenai calon. Tetapi belum ada sebarang ketetapan penuh. Di peringkat PAS dan Bersatu belum dibincangkan.

“Saya ketua bahagian, saya nak bertanding kerusi Parlimen lah,” katanya yang menegaskan Umno kekal dengan pendirian untuk bertanding semula di kerusi berkenaan.

Jelasnya, ia berdasarkan prinsip untuk bertading di kerusi yang dimenangi sewaktu PRU14 dan hanya mengagihkan kerusi lain yang tidak dimenangi.

“Kita nak pembahagian macam itu, dengan PAS melalui Muafakat Nasional pun kita setuju seperti itu. Jika Umno menang, Umno tanding. PAS menang, PAS lah bertanding.

“Kalau nak bincang soal lain, kita tunggu keputusan atas,” tambahnya.

Umno ingin mempertahankan kerusi tradisinnya di Tasek Gelugor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

Adun Sungai Dua itu mula menjadi wakil rakyat di DUN tersebut sejak 2008. Beliau dilantik sebagai ketua pembangkang negeri selepas PRU14.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu kini, Shabudi Yahaya kini dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas mengenai masa dengan Shabudin di kerusi tersebut, Yusoff berkata timbalan menteri berkenaan perlu mencari kawasan lain jika masih mempunyai niat untuk bertanding.

Umno mahu pertahan kerusi tradisi

Umno dan BN juga menyuarakan pendirian untuk terus mempertahankan kerusi tradisi yang dimenanginya pada PRU 14.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa menyatakan BN berhasrat mempertahankan semua kerusi tradisi sama ada yang dimenangi pada PRU14 atau sebelumnya.

Perkara sama disuarakan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi apabila timbul pertikaian mengenai calon parti yang akan menandingi kerusi tradisi parti tersebut.

Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir pula menyebut, pembahagian kerusi di antara parti tersebut dengan PAS dan Bersatu masih belum dibincangkan di negeri itu setakat ini.

“Belum ada buat keputusan, di peringkat negeri pun belum bincang. Tidak dapat arahan nak bincang, jadi kita tak bincang lagilah.

“Saya akan umum jika kita sudah buat perbincangan,” katanya.

Di pihak Bersatu pula, ketua sayap Pemuda di bahagian Tasek Gelugor, Mohammad Syatibi Abdul Kadir pula menyatakan kesediaan menyokong mana-mana calon dari mana-mana parti.

“Kita masih proses perbincangan, tetapi tiada sebarang keputusan lagi. Bagi saya, sama ada Umno atau Bersatu pun tidak apa.

“Yang penting buat terbaik untuk rakyat Tasek Gelugor. Sesiapa pun calon yang diusul PN, kita sokong penuh,” katanya.

Pada PRU14, Umno bertanding di lima kerusi Parlimen serta 15 kerusi DUN di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, Umno menang dua kerusi Parlimen – Kepala Batas dan Tasek Gelugor dan dua kerusi DUN – Permatang Berangan dan Sungai Dua.

Namun, jumlah kerusi kian bertukar apabila dua bekas ahli PKR dan dua Adun Bersatu kini menyokong PN.

Mereka terdiri dari Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan dua Adun Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang)

Pengundi pilih calon Melayu

Sementara itu, rata-rata pengundi yang ditemui di Tasek Gelugor pula berpendapat, mereka tidak mempedulikan parti bertanding dan hanya akan memilih calon Melayu.

Firdaus Zulkifli, 26, dari DUN Telok Ayer Tawar berkata beliau kini tidak mahu lagi memilih PH kerana melihat parti tersebut tidak lagi stabil.

“Undi Marzuki dahulu sebab ketika itu Bersatu ada Dr Mahathir Mohamad, tapi melihat kepada keadaan PH sekarang saya lebih cenderung sokong Bersatu atau Umno.

“Tidak kisah sangatlah calon Umno atau Bersatu yang penting, orang Melayu,” jelasnya.

Norbi Mohamad, 61, turut berpendapat pengundi di Tasek Gelugor mahukan calon daripada Melayu dan mempunyai kredibiliti membantu rakyat.

“Rugilah kalau Bersatu dan Umno letak calon masing-masing, akan menyebabkan pengundi Melayu berpecah.

“Lagipun di sini lebih popular dengan Umno. Mereka pegang kerusi ini lebih 30 tahun dahulu lagi,” jelasnya ketika ditemui di kawasan dengan lebih 70% pengundi Melayu itu lagi.

Ammar Shafie dari DUN Permatang Berangan pula berkata, BN lebih popular di kawasan luar bandar tersebut kerana pengundi Melayu lebih bimbang kepada DAP.

“Sama ada Bersatu atau Umno yang kini mahu kekalkan Parlimen Tasek Gelugor, saya rasa Umno lebih baik kerana mereka lebih popular di sini,” jelas beliau. – 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen