Pembukaan 138 sekolah di Sarawak ditangguh


Desmond Davidson

138 sekolah dikenal pasti untuk terus ditutup melibatkan 87 sekolah di Kuching, 48 sekolah di Padawan dan tiga sekolah di Samarahan, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

PELAJAR 138 sekolah tiga daerah di Sarawak tidak akan mula bersekolah esok disebabkan wujud lonjakan kes Covid-19 di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah berkata sekolah itu terletak di Kuching, Samarahan dan Padawan sebaliknya akan mula dibuka bermula 3 Ogos depan.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang bertanggungjawab menguruskan wabak Covid-19 berkata, keputusan dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Jabatan Pendidikan.

Bagaimanapun, sekolah yang berada dalam zon hijau dan daerah lain akan mula dibuka esok.

Uggah berkata, 138 sekolah dikenal pasti untuk terus ditutup melibatkan 87 sekolah di Kuching, 48 sekolah di Padawan dan tiga sekolah di Samarahan.

Tambahnya, penangguhan pembukaan semula itu membabitkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4 dan Tingkatan 6 Rendah.

Bagi Tahun 5 dan 6 sekolah rendah yang dijadualkan bermula esok dan bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4 yang dijadual bermula 22 Julai pula, juga ditangguhkan hingga 3 Ogos.

Tetapi, penangguhan tidak melibatkan pelajar kelas prasekolah, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas yang masih akan bersekolah.

Sejak minggu lepas, terdapat lima kes jangkitan baharu melibatkan dua kluster di Kuching.

Dua kluster di Kuching adalah kluster syarikat kejuruteraan dan kluster tapak pembinaan.

Uggah juga mendesak “lebih seratus orang” yang merupakan kontak rapat lima kes itu supaya menjalani saringan Covid-19.

Menyentuh sumber jangkitan, Uggah berkata, setakat ini ia masih belum dikenal pasti.

“Saya harap dalam tempoh beberapa hari akan datang, kita akan dapat mengenal pasti sumber jangkitan.

“Jadi buat masa sekarang, ia dianggap sebagai jangkitan dalam komuniti.”

Uggah turut merayu penduduk Sarawak supaya terus mematuhi SOP kesihatan kerana “virus masih ada”.

“Kita belum menang perang lagi,” katanya. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen