Ahli Parlimen Baling harus mohon maaf kepada semua rakyat


SAYA berasa amat kesal dengan sindiran berbaur perkauman dan seksis oleh Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto semasa persidangan Dewan Rakyat tempoh hari.

Kenyataan Ahli Parlimen Baling itu jelas mendedahkan sikap sebenar beliau serta membuktikan bahawa mereka masih meneruskan tradisi pemerintahan Barisan Nasional masa lalu yang mempunyai kecenderungan perkauman dan seksis.

Perkara ini juga menunjukkan bahawa wakil rakyat Kerajaan Perikatan Nasional tersebut memberi keutamaan kepada warna kulit seseorang, tanpa menyedari bahawa beliau berdiri di dewan yang mulia ini mewakili semua bangsa, agama dan warna kulit yang telah mengundinya dan bukannya mereka yang berkulit cerah sahaja.

Tindakan ahli Parlimen Baling telah mengkhianati semangat muhibah negara.

Parlimen juga tidak boleh bertolak ansur atau membenarkan kata-kata penghinaan yang berbaur rasis dan seksis. Ahli Parlimen Baling juga dengan ini telah melanggar Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang bentuk diskriminasi atas dasar gender, bangsa atau agama.

Perdana menteri dalam kenyataan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara menyatakan bahawa, “Kita berasa bangga menjadi warganegara Malaysia walau apapun kaum, agama, dan warna kulit kita kerana kita mempunyai jati diri yang sebahagiannya dibentuk oleh prinsip Rukun Negara”.

Tetapi apa yang berlaku semalam telah menunjukkan ahli Parlimen Baling tidak menghormati Rukun Negara.

Perkara ini adalah serius. Adakah perangai dan tindakan yang anti-Rukun Negara ini mencerminkan budaya di kalangan wakil rakyat PN?

Ahli Parlimen Baling telah menarik balik komen tersebut, tetapi beliau juga dituntut untuk memohon maaf secara terbuka kepada ahli Parlimen Batu Kawan serta semua rakyat Malaysia atas perangai yang mengkhianati semangat muhibah negara. – 14 Julai, 2020.

*Lim Hui Ying adalah senator Dewan Negara dan setiausaha DAP Pulau Pinang.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen