Rosmah minta RM187.5 juta untuk bantu Jepak dapatkan projek solar, kata saksi


Ravin Palanisamy

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama)—Rakan perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Rosmah Mansor meminta sumbangan RM187.5 juta iaitu 15 peratus  daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak untuk  membantu Jepak mendapatkan projek berkenaan.

Rayyan Radzwill Abdullah, 40, pengarah Nanocarb Technology Sdn Bhd berkata perkara itu dimaklumkan oleh Rizal Mansor, yang ketika itu merupakan pembantu Rosmah semasa perjumpaan di sebuah Bistro di Sunway Putra Mall antara Januari dan Februari 2016.

“Rizal telah berjumpa saya dan Saidi di restoran itu dan semasa perjumpaan tersebut, Rizal mengatakan semuanya okay cuma peratus sumbangan perlu dinaikkan kepada 15 peratus kerana Rosmah inginkan 15 peratus daripada jumlah RM1.25 bilion nilai projek tersebut.

“Jadi jumlah sumbangan 15 peratus berkenaan adalah bersamaan RM187.5 juta. Saidi mengatakan jumlah itu tinggi dan ia perlu dikurangkan sikit kerana Saidi perlu jaga ramai orang lagi. Rizal mengatakan akan semak dan maklum kembali dan beliau juga meminta bahagiannya sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi. Saidi menyatakan ‘okay’ sebagai tanda setuju dengan permintaan Rizal,” katanya.

Menurut saksi ke-16 pihak pendakwaan itu, Rizal kemudiannya menghubungi beliau dan memberitahu duit sumbangan 15 peratus bersamaan RM187.5 juta adalah muktamad dan tidak boleh diubah dan memintanya memaklumkan perkara berkenaan kepada Saidi.

“Saya kemudian telah menghubungi Saidi dan memaklumkan beliau tentang perkara tersebut,” katanya yang membacakan penyataan saksinya pada hari ke-16 perbicaraan kes Rosmah yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Terdahulu, Rayyan Radzwill berkata Saidi memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan menghubungi Rizal bagi mendapatkan sokongan Rosmah untuk melancarkan proses Jepak mendapatkan projek solar itu selepas KPM tidak memberi maklum balas berhubung pembentangan mereka berkenaan projek tersebut.

“Satu perjumpaan dibuat dalam bulan Januari atau Februari 2016 di antara kami berdua dengan Rizal di sebuah Bistro pada waktu malam dan antara isu yang dibincangkan berkenaan tindakan Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan ketika itu) yang tidak memberi sebarang respons kepada Saidi dan Jepak biarpun perdana menteri ketika itu Najib Razak telah mengeluarkan minit arahan untuk melaksanakan projek solar hibrid Jepak.

“Dalam pertemuan itu, Saidi ada bertanya tentang peratus sumbangan yang perlu diberikan kepada Rosmah sekiranya beliau setuju membantu Jepak untuk mendapatkan projek solar tersebut dan Rizal menasihatkan kepada Saidi dan saya agar menawarkan sumbangan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus daripada nilai projek solar berkenaan.

“Rizal juga meminta Saidi untuk memulakan tawaran bermula dari 10 peratus terlebih dahulu agar kami dapat nego (runding) dan henti di takat 15 peratus dari nilai projek tersebut,” katanya.

Saksi itu berkata beberapa hari kemudian, beliau dan Saidi telah pergi ke rumah Rosmah di Jalan Langgak Duta dan antara isu yang dibincangkan adalah berkenaan sokongan Rosmah dalam projek solar hibrid dan sumbangan yang hendak diberikan oleh Jepak kepada isteri bekas perdana menteri itu atas bantuan yang diberikan.

“Saidi telah menawarkan 10 peratus sebagai sumbangan kepada Rosmah dan beliau telah menjawab dengan mengatakan ‘keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang” dan ‘kita tengoklah nanti’,” katanya yang turut memaklumkan perjumpaan tersebut berlangsung selama 10 minit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – Bernama, 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen