Ahli Parlimen bahas punca kejatuhan Pakatan 


Chan Kok Leong Kamles Kumar

Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata kewujudan PN hanya selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

KEJATUHAN kerajaan Pakatan Harapan berpunca daripada peletakan jawatan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan parti gabungannya, kata ahli Parlimen Perikatan Nasional di Dewan Rakyat hari ini.

Isu berkenaan timbul selepas ahli Parlimen membahaskan usul oleh Ahmad Maslan (Pontian-BN) untuk meluluskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong atas titah diraja.

“Kita menjadi kerajaan hari ini kerana Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,” kata Ahmad.

“Kita (BN) sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Dr Mahathir namun beliau meletakan jawatan, dan SD itu tidak digunakan.

“Kemudian Pagoh (Muhyiddin Yassin) tampil untuk selamatkan negara,” kata Ahmad.

Terdahulu ahli Parlimen berbahas mengenai pengunaan ayat “kerajaan pintu belakang” oleh ahli Parlimen PH dan meminta Timbalan Speaker Azalina Othman Said membuat ruling berhubung perkara itu.

Ahmad berkata PN merupakan kerajaan yang ditubuhkan oleh Istana, oleh itu ia tidak boleh dipanggil kerajaan pintu belakang.

Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) berkata PN bukan punca kejatuhan PH.

“PH bakar kapal sendiri dan hilang nakhoda (Dr Mahathir). Kita hanya tampil untuk bina kerajaan baru selepas itu.”

Rakannya dalam Umno, Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) berkata, PH jatuh kerana pengundi menolak dasarnya.

“Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana beliau kecewa dengan prestasi kabinet, yang membawa masalah kepada negara selepas 22 bulan.”

Beberapa ahli Parlimen PH seperti Hanipa Maidin (Sepang), K. Muthusamy (Padang Serai) dan Ngeh Koo Ham (Beruas), cuba untuk menjelaskan mengapa PN adalah kerajaan pintu belakang namun gagal menjawab hujah bahawa PH jatuh selepas Dr Mahathir letak jawatan. – 14 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen