Puak Azmin belum sertai Bersatu, kata Zuraida


Mohd Farhan Darwis

Bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata 11 ahli Parlimen yang meninggalkan PKR sejak hujung Februari lalu tidak berhasrat untuk menubuhkan parti baharu dan masih belum menyertai Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

SEBELAS ahli Parlimen yang meninggalkan PKR sejak hujung Februari lalu tidak berhasrat untuk menubuhkan parti baharu dan masih belum menyertai Bersatu, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri kerajaan tempatan itu menjelaskan kumpulan ahli Parlimen dipimpin Azmin Ali itu kesuntukan masa kerana penggal pentadbiran hanya berbaki tiga tahun lagi.

Bekas naib presiden PKR itu berkata, kesemua mereka juga masih belum menyertai Bersatu, walaupun kini ditempatkan bersama ahli Parlimen parti itu di Dewan Rakyat.

“Dalam Dewan Rakyat memang mereka letak kami dalam kelompok (ahli Parlimen) Bersatu, itu kita terima cuma secara teknikal kita tengah perhalusi.

“Insha Allah kita akan bersama Bersatu cuma kaedah akan dibincang.

“Dalam masa singkat ini tidak praktikal nak buat parti baru, tiga tahun ini masa yang tak praktikal buat parti baru untuk hadapi pilihan raya,” kata Zuraida kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, atas alasan strategik, mereka semua menggunakan platform Bersatu di Dewan Rakyat.

“Secara teknikal kita sekumpulan belum (jadi ahli) kita tengah perhalusi kaedah yang kita akan guna untuk masuk Bersatu,” kata Zuraida.

“Atas faktor strategik di Dewan kami diletakkan bersama Bersatu namun secara teknikal masih belum bersama Bersatu,” katanya.

Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR juga minggu lalu menafikan beliau akan menubuhkan parti baharu.

Parti baharu itu didakwa untuk memberi ruang kepada pengikutnya dari parti dikuasai Anwar Ibrahim.

Menteri kanan perdagangan antarabangsa itu juga menjelaskan kenyataan Jabatan Pendaftar Pertubuhan bahawa penubuhan parti tersebut masih belum diluluskan kerana tidak dimohon. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen