AKIBAT terpedaya dengan iklan bomoh Siam yang kononnya boleh membantu menyelesaikan masalah kewangan, seorang pekerja syarikat pembaikan motosikal di Kepala Batas kerugian RM132,827 selepas ditipu sindiket tipu nombor ramalan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 33 tahun itu telah meninggalkan nombor telefon pada iklan bomoh Siam yang dilihatnya di Facebook, sebelum dia dihubungi oleh dua lelaki mendakwa orang suruhan kepada seorang bomoh yang berasal dari Betong, Thailand menerusi aplikasi WhatsApp dan memberi nombor ramalan bertuah kepada mangsa.
“Lelaki itu kemudiannya sekali lagi dihubungi oleh sindiket dan dimaklumkan telah memenangi hadiah tiket loteri nombor ekor berjumlah RM1.8 juta tetapi diminta untuk membuat beberapa bayaran yang dituntut oleh seorang ‘sifu’ terlebih dahulu.
“Mangsa kemudiannya telah dipujuk untuk memberikan wang kepada sifu itu dan dia yang terpedaya telah membuat 19 transaksi ke dua akaun bank diberikan sindiket tersebut yang kesemuanya berjumlah RM132,827 sejak sebulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan di Kepala Batas hari ini.
Beliau berkata sindiket itu mendakwa sifu tersebut meminta mangsa membuat beberapa bayaran seperti bil hospital, derma, tempat sembahyang, beli colok, patung berhala dan lain-lain alatan berkaitan upacara sembahyang kononnya sebagai upah untuk mendapatkan wang kemenangannya sebanyak RM1.8 juta.
“Lelaki itu hanya menyedari dia ditipu setelah orang suruhan sifu tersebut terus minta wang tambahan sebelum dia meminta pandangan rakan yang akhirnya meminta mangsa membuat laporan polis. Mangsa buat laporan polis semalam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata seorang remaja lelaki berusia 18 tahun kerugian RM16,493.54 ditipu Skim Cepat Kaya selepas terlihat iklan skim pelaburan sebuah syarikat yang kononnya mendapat lesen dari Bank Negara Malaysia menerusi Facebook.
Beliau berkata mangsa telah dipujuk oleh ejen syarikat berkenaan untuk melabur dengan jumlah yang kecil terlebih dahulu dan berpeluang mengaut keuntungan segera berjumlah RM8,400.
“Remaja itu kemudiannya telah diumpan agar menaik taraf pelan pelaburan ke pakej VVIP dan telah membuat enam transaksi kemasukan wang ke dua akaun bank diberikan ejen tersebut yang kesemuanya berjumlah RM16,493.54 bagi menikmati pulangan keuntungan yang luar biasa,” katanya.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas ejen tersebut meminta wang tambahan bagi membolehkan mangsa mengeluarkan keuntungan yang terkumpul dalam akaun pelaburan yang dianggarkan berjumlah RM149,577.80 sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.
Noorzainy berkata siasatan lanjut bagi kedua-dua kes itu masih dijalankan termasuk mengesan ahli sindiket dan pemilik-pemilik akaun yang digunakan untuk transaksi wang. – Bernama, 14 Julai, 2020.
Komen