Daftar pengundi automatik pada Julai, 2021


Had umur mengundi dikurangkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Jun tahun lalu di bawah kerajaan Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

PENDAFTARAN pengudi secara automatik akan dilaksanakan paling lewat pada Julai 2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata sesi rundingan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung perkara itu.

Menurutnya SPR turut bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara di bawah satu jawatankuasa khas untuk menyediakan proses dan prosedur operasi standard yang diperlukan bagi melaksanakan pendaftaran pengundi automatik.

“SPR dijangka akan siapkan semua persediaan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan daripada tarikh usul itu diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai, 2019.

“Pelaksanaannya dijangka paling lewat pada Julai 2021,” kata Takiyuddin.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan-PH) yang bertanya perdana menteri mengenai status persediaan bagi melaksanakan sistem pendaftaran pengundi automatik.

Had umur mengundi dikurangkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Jun tahun lalu di bawah kerajaan Pakatan Harapan dengan sokongan penuh kedua-dua pihak.

Pilihan raya umum ke 15 perlu diadakan pada 2023.– 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen