Ejen MM2H rugi selepas 2,000 permohonan dikembalikan


Khoo Gek San

Presiden Persatuan Ejen MM2H Lim Kok Sai berkata ejen bimbang pendapatan mereka akan terjejas sehingga program itu diteruskan semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 16 Julai, 2020.

LEBIH 2,000 permohonan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dikembalikan semula kepada ejen, manakala program itu sendiri dibekukan untuk dikaji semula.

Ini bermakna ejen hilang pendapatan dan negara kerugian RM1.5 bilion, kata Presiden Persatuan Ejen MM2H Lim Kok Sai.

Kira-kira 1,000 permohonan sudah dikembalikan antara September dan November tahun lalu, yang merupakan pendapatan negara bernilai kira-kira RM776 juta.

Dari Disember hingga Jun tahun ini, 1,000 lagi permohonan ditolak dan dikembalikan, kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata ejen gagal menghubungi pusat MM2H dan pegawai yang bertugas, dan menambah tiada penjelasan lanjut daripada kerajaan selain pengumuman program itu dibekukan awal bulan ini.

Pada 2 Julai lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata program itu dibekukan sementara menunggu proses kajian semula oleh kementeriannya dan Jabatan Imigresen.

“Nancy Shukri juga berkata program MM2H akan diteruskan tahun depan, yang mana sehingga tempoh itu ejen tidak ada pendapatan dan akan berdepan masalah kewangan,” kata Lim. 

Ejen turut berdepan tuntutan pemohon yang mahu wang deposit mereka dikembalikan.

Rancangan untuk pembelian hartanah turut ditangguhkan, tambahnya.

Program MM2H yang dilancarkan pada 2002, menjana pendapatan RM40 bilion kepada Malaysia dengan membenarkan pesara warga asing memiliki kediaman dan menetap di negara ini.

Lim berkata emaju hartanah dan ejen telah melabur untuk mempromosikan program itu di luar negara dengan mengadakan lawatan bersma ke negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.

“Kini semua usaha ini adalah sia-sia.”

Berita mengenai permohonan yang ditolak turut sampai kepada pemohon berpotensi seperti ibu bapa warga asing yang berharap anak mereka menyambung pengajian di Malaysia dan mereka memohon visa MM2H untuk membeli rumah dan untuk menemani anak mereka.

“Kini mereka tidak lagi merancang untuk anak mereka menyambung pengajian di sini,” kata Lim dan menambah kerajaan yang mengendalikan program ini menyebabkan kesan kepada sektor lain.

Nancy berkata kajian semula berhubung proses MM2H akan selesai pada Disember dan banyak “yang perlu diperbaiki”.

“Ia tidak kekal (pembekuan) seperti yang ramai fikirkan. Ia tidak berkekalan.” katanya.

Namun ini tidak menjawab kebimbangan ejen mengenai apa yang akan mereka lakukan untuk bekerja dan menjana pendapatan sehingga program itu dimulakan semula, kata Lim.  – 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen