Azhar mungkin berdepan laluan sukar sebagai speaker


Chan Kok Leong

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun pada sidang akhbar berkata Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memerlukan undi dibuat jika beliau saja calonnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Julai, 2020.

SELEPAS dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat tanpa undi, Azhar Azizan Harun akan terpaksa meyakinkan hampir separuh ahli Parlimen yang beliau mampu menggalas tanggungjawab besar daripada pendulunya, Mohamad Ariff Md Yusof.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang juga peguam terkemuka dan penulis sebelum ini, memulakan sejam pertama sebagai speaker dalam keadaan kecoh.

Di tengah teriakan “Malu!” dan “Tiada siapa undi anda!”, Azhar menyarung jubah speaker dan mengangkat sumpah selepas Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon meluluskan usul dibawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melantik Azhar sebagai speaker.

Ariff terdahulu disingkirkan selepas usul Muhyiddin diterima menerusi undi 111 berbalas 109, daripada 222 ahli Parlimen.

Azhar duduk di kerusi speaker dan mengangkat sumpah sementera ahli Parlimen pembangkang masih berbalah tentang prosedur yang membawa kepada pencalonannya.

Wakil rakyat pembangkang mengadu mereka tidak diberi peluang mencalonkan calon alternatif bagi speaker seperti diperuntukkan mengikut Peraturan Mesyuarat, di mana Rashid berkata tempoh waktunya sudah terlepas.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional berkata tidak perlu mengundi kerana Azhar calon tunggal untuk jawatan itu.

Pada sidang akhbar selepas itu, Azhar berkata Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak memerlukan undi dibuat jika beliau seorang saja calonnya.

Sementara kekecohan terus berlaku di dewan dengan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang saling menjerit ke arah satu sama lain berkenaan pelantikan itu, Azhar tidak mengendahkannya dan berjanji untuk mempertahankan demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan.

Selepas itu, berkata berkata:”Saya minta bahasa sopan digunakan. Ini Parlimen.

“Saya ucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang mencadangkan saya untuk jawatan ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen kerana melantik saya sebagai speaker Dewan Rakyat.

“Saya juga berterima kasih kepada ahli Parlimen kerana mengambil bahagian dalam proses pelantikan saya walaupun mereka tidak menyokong saya kerana ada memastikan amalan demokrasi masih hidup.”

Kata-katanya tidak diendahkan kerana jerit-menjerit masih berterusan, ketika beliau sedang cuba memahami fungsi butang kawalan suara mikrofon ahli Parlimen dari tempat duduknya.

Keputusan pertama Azhar dalam kerjayanya sebagai speaker, dibuat beberapa minit selepas memegang jawatan itu, iaitu mengarahkan wakil rakyat Amanah Khalid Samad (Shah Alam-PH) keluar dewan kerana menjerit ketika beliau bercakap.

Tindakan itu menyebabkan lebih banyak jeritan berlaku dan permintaan untuk penjelasan mengikut Peraturan Mesyuarat.

Dewan kembali tenang sedikit selepas Khalid diarahkan keluar. Ahli Parlimen Damansara daripada DAP, Tony Pua kemudian menulis di Facebook beliau keluar dewan sebagai solidariti untuk Khalid dan kerana situasi yang “memalukan”.

Suasana tenang itu sekejap saja sebelum sekali lagi dewan kecoh dengan jerit menjerit apabila usul berikutnya dibawa, iaitu untuk melantik ahli baharu Jawatankuasa Pemilih. – 14 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen