'Bercakap Dengan Quran' membuka ruang wacana


 

KEBELAKANGAN ini, wacana perihal Islam yang selalu disebut sebagai ‘progresif’ dilihat cuba melawan arus fundamentalisme agama yang mengukuh di tengah-tengah masyarakat Melayu-Islam.

Golongan fundamentalisme agama dikira berhasil menyusup ke dalam birokrasi mahupun institusi keagamaan. Akibatnya, orientasi keagamaan masyarakat Melayu menjadi lebih tertutup, puritan dan sangat konservatif.  

Golongan intelektual progresif semakin sedar akan masalah ini. Ramai yang terpanggil untuk membangunkan wacana yang dapat melawan arus ini.

Kehadiran mereka, terutama di kalangan anak-anak muda, merancakkan perdebatan pemikiran keislaman. Mereka cuba menggugat dua perkara: monopoli wacana dan politisasi agama.

Kemunculan buku Bercakap dengan Quran merupakan satu contoh perkembangan ini. Buku ini merupakan kompilasi makalah-makalah ringkas yang mencabar arus pemikiran dogmatik secara kritis, tetapi penuh susila dan berpandukan hujah dari kitab-kitab ulama silam mahupun paradigma segar dari pemikir-pemikir kontemporari.

Sekaligus, ia menjadi kontribusi penting dalam meneruskan kesinambungan perbahasan pemikiran keislaman masyarakat Melayu-Islam kontemporari.

Membangun semangat universal

Umumnya, buku itu  cuba mengembalikan semangat al-Qur’an yang universal seperti prinsip keadilan, kesejahteraan, toleransi, perdamaian dan sebagainya.

Penulisnya, Mohd Syazreen Abdullah, lulusan pengajian Islam di Jordan itu sendiri mengakui , ‘sekian lama, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat muslim kita dalam menilai Quran.’

Seorang pemikir besar Islam abad ke-20, Fazlur Rahman, pernah bertanya: apakah corak masyarakat Islam yang kita inginkan sebagai landasan dari pesan-pesan moral-etika dari al-Quran?

Bagi Syazreen, masyarakat Islam hari ini tidak dapat lari dari usaha mengkritik sebahagian besar pola pemikiran yang telah beku dan memudaratkan. Tugas ini telah pun dimulai oleh beberapa sarjana Muslim yang dikutip, antaranya Mohammed Arkoun, Abdullahi An-Na’im, Muhammad Shahrur dan Abed al-Jabiri. Penting ditekankan bahawa tujuan merombak pola pemikiran jumud bukanlah untuk menjahanamkan agama tetapi untuk menghasilkan makna-makna baru.

Ini supaya pesan-pesan sejati dalam al-Qur’an tidak luput dengan pesatnya perubahan masyarakat. Justeru, agama tidak menjadi hambatan, sebaliknya merancakkan pembangunan masyarakat dengan nilai-nilai manusiawi.

Wacana dan kekuasaan

Buku Bercakap dengan Quran terbitan Thukul Cetak itu nyata menyentak pembaca tentang perlunya mencari paradigma baru dalam menanggapi tema penting berkaitan agama dan politik, penafsiran teks, keragaman masyarakat dan isu keganasan bertopengkan agama.

Paling penting, ianya memancing perbincangan mengenai mengapa konservatisme agama semakin berleluasa dan bagaimana kita dapat merawat kembali corak beragama yang terbuka, damai dan penuh hikmah. Pastinya, konservatisme itu mempunyai konteks politik yang cenderung menciptakan wacana yang hegemonik.

Kuasa politik juga sering melumpuhkan pandangan alternatif sehingga kebenaran itu menjadi tunggal dan dipertahankan dengan kekerasan, termasuk dengan mematikan semangat intelektual.

Akhirnya, penentuan wacana ialah kuasa: siapa yang tentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipersoalkan. Justeru, penting untuk kaum intelektual dan aktivis merebut kembali ruang berwacana dengan menggerakkan kelompok bacaan, kajian, tulisan dan seni yang dapat memastikan adanya pertarungan pemikiran di tengah-tengah hegemoni kekuasaan.

Ke mana dengan Qur’an?

Wacana alternatif harus terus diproduksikan supaya muncul perspektif beragam supaya kita tidak sampai kepada kondisi yang melumpuhkan daya pemikiran, iaitu the unthought (yang tidak terfikirkan) yang pernah disentuh oleh pemikir Islam tersohor, Mohammed Arkoun.

Kondisi ini terjadi sekiranya hegemoni pemikiran tidak dicabar. Akibatnya, masyarakat akan hilang daya kritis dan kreatif untuk merespon cabaran baru yang muncul dalam perubahan sosial.

Kita tentu meyakini al-Qur’an sebagai membina landasan dalam menangani cabaran masa kini. Tapi, mengulangi soalan Syazreen: apakah peranan al-Qur’an jika ianya setakat dibaca, dihafal dan diulang?

Pada saat memuncaknya semangat dakwah dan politisasi Islam dalam masyarakat Melayu, tokoh pemikir, Prof Syed Hussein Alatas juga pernah bertanya: ke mana dengan Islam?

Tulisan Syazreen sedikit sebanyak merespon pertanyaan tersebut dengan mengajak kita kembali kepada pesan-pesan besar al-Qu’an yang manusiawi.

Tugas ini harus bermula dengan musyawarah yang mengangkat al-Qur’an sebagai teman berdialog dan bukan sebagai objek yang diagung-agungkan tanpa kita ambil serius dengan mengkaji dan mentafsirnya kepada manusia abad ke-21. Tugas ini kini berada di pundak golongan progresif yang harus bangkit memikul tanggungjawab merawat corak keberagamaan yang semakin membimbangkan, baik di peringkat lokal mahupun global. – 5 Mei, 2017.

* Mohamed Imran Mohamed Taib seorang pengikut laman The Malaysian Insight. Seorang aktivis silang agama yang mengamati isu sosial dan agama, beliau turut aktif bersama kelompok bacaan dan kajian, The Reading Group, Singapura.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen