Pertama kali dalam sejarah speaker Dewan disingkir, kata Ariff


Mohd Farhan Darwis

Tak pernah berlaku speaker disingkir tanpa alasan munasabah, kata Mohamad Ariff Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

TIDAK pernah berlaku dalam sejarah dunia speaker Dewan Rakyat disingkirkan daripada jawatannya tanpa ada alasan munasabah, kata Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau yang disingkirkan dari jawatan itu melalui usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata keadaan itu tidak pernah berlaku dalam sistem Westminister di kalangan negara Komanwel.

Satu-satunya pengecualian yang pernah berlaku hanya melibatkan negara Trinidad and Tobago yang menyingkirkan seorang speaker Dewan atas kesalahan rasuah, katanya.

“Dalam keadaan biasa lepas pilihan raya umum kerajaan baharu akan lantik speaker. Apa yang jadi sekarang di luar keadaan biasa. Saya tak tahu negara lain selain Trinidad dan Tobago (singkir speaker).

“Mereka singkir speaker mereka kerana kesalahan rasuah. Tapi tidak ada contoh lain.

“Di United Kingdom, selama 800 tahun tak pernah berlaku seorang speaker diusir sebelum tempoh tamat perkhidmatannya. Ini sepatutnya amalan dalam sistem Komanwel,” kata Mohamad Ariff.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas usul menyingkirkannya diterima 111 ahli Parlimen.

Seramai 109 ahli Parlimen bagaimanapun menolak usul tersebut, yang dibuat melalui pengundian belah bahagi.

Mohamad Ariff turut menjelaskan, usul yang diterimanya untuk dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat persidangan bukan bermakna beliau bersetuju dengan tindakan itu.

Sebaliknya, usul berkenaan diterimanya kerana memenuhi syarat yang ditetapkan peraturan untuk mana-mana usul dibawa masuk ke dalam Dewan Rakyat untuk dibentangkan kepada ahli Parlimen.

“Sebagai speaker, saya menerima usul yang teratur, sama ada usul itu mempunyai masalah atau tidak ia terpulang kepada ahli-ahli Parlimen. Itu yang kita pegang dalam sistem berparlimen kita

“Jika saya tidak menerimanya, ceritanya mungkin berbeza, tetapi kita mengikut peraturan dan buku panduan, tiada yang magis,” kata Mohamad Ariff.

Pihaknya bagaimanapun menerima keputusan itu, kerana proses pelantikan dan penggugurannya dibuat berlandaskan Perlembagaan dan diputuskan oleh ahli Dewan.

“Bagi saya sendiri tidak ada masalah sedikit pun. Saya hanya akan keluar jika Perlembagaan dipatuhi dan (dalam hal ini) Perlembagaam dipatuhi, terdapat usul dan undian diambil.

“Jadi akhir kata ahli ahli Parlimen putuskan, bukan perdana menteri dan bukan Kabinet. Ini mesti dihormati secara prinsip. Seorang speaker mesti neutral, bebas dan tidak boleh dikongkongi oleh eksekutif.

“Jawatan speaker bukan jawatan pegawai khas untuk Kabinet atau menteri atau perdana menteri. Kita mesti kekalkan jawatan speaker yang neutral.

“Dalam hal ini speaker dilantik Dewan Rakyat, seharusnya jawatan itu dikosongkan melalui undian dalam Dewan Rakyat,” kata Mohamad Ariff lagi. – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen