Banjir kilat di Negeri Sembilan, 308 mangsa terjejas


SERAMAI 308 mangsa daripada 72 keluarga terjejas akibat banjir kilat yang melanda lima kampung di tiga daerah iaitu Port Dickson, Rembau dan Seremban hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan berkata daripada jumlah itu, seramai 199 mangsa daripada 44 keluarga yang terjejas ialah di Kampung Jimah Lama, Port Dickson. 

Ia diikuti Kampung Bemban, Seremban (75 mangsa daripada 20 keluarga); Kampung Sega Hilir, Rembau (20 mangsa daripada empat keluarga); Kampung Sega Hulu, Rembau (13 mangsa daripada tiga keluarga) dan seorang mangsa di Kampung Janging, Chuah, Port Dickson.

“Bagi mangsa banjir di Kampung Jimah Lama, hanya tujuh keluarga iaitu seramai 48 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jimah manakala bagi mangsa-mangsa banjir yang lain, mereka berpindah ke rumah keluarga terdekat.

“Banjir di Kampung Jimah Lama adalah disebabkan paras air sungai yang melebihi benteng berikutan hujan lebat,” menurut sekretariat berkenaan dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan bagi kejadian banjir kilat di Kampung Sega Hulu dan Kampung Sega Hilir, ia disebabkan limpahan air Sungai Simen manakala di Kampung Bemban, disebabkan limpahan air Sungai Linggi serta di Kampung Janging disebabkan oleh sistem peparitan.

“Seramai 20 mangsa dari Kampung Sega Hilir kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sega Hilir,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Hamdan Ali ketika ditemui di lokasi banjir di Kampung Bemban berkata kejadian berkenaan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan kesemuanya merupakan banjir kilat.

“Kita sentiasa bersiap sedia untuk banjir kerana kita telah menjangkakannya memandangkan sekarang ini musim hujan. Di Negeri Sembilan selalunya yang berlaku adalah banjir kilat… Kita akan terus memantau keadaan dan jika perlu dipindahkan, kita akan pindahkan dan akan menggerakkan anggota dan peralatan kita,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa Nur Zakariah Abd Rahim, 22, menyifatkan banjir kilat yang berlaku kali ini merupakan yang terburuk pernah dialami keluarganya.

“Kejadian berlaku dalam pukul 8.30 pagi ketika saya bersama enam ahli keluarga termasuk datuk sedang tidur tidak menyedari air telah memenuhi dapur rumah. Seingat saya ini kali ketiga banjir berlaku tetapi kali ini sangat teruk…air yang masuk begitu laju manakala keadaan air di luar rumah pula arusnya deras.

“Kami bagaimanapun diselamatkan oleh pihak bomba. Perasaan sedih itu ada kerana kami tak sempat menyelamatkan apa-apa barangan pun kerana air masuk terlalu cepat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Bemban. – Bernama, 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen