Tak perlu undi kerana tiada calon speaker lain, kata Azhar


Mohd Farhan Darwis

Azhar Azizan Harun bercakap kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat selepas dilantik sebagai speaker baharu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

AZHAR Azizan Harun mempertahankan pelantikannya sebagai speaker Dewan Rakyat tidak memerlukan pengundian kerana beliau satu-satunya calon yang dinamakan untuk jawatan tersebut.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkata ketetapan itu sudah termaktub di dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Tiada pengundian. Ikut peraturan mesyuarat sekiranya hanya ada satu pencalonan tak perlu undi, dia boleh terus dimasyhurkan sebagai speaker atau timbalan speaker,” kata Azhar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat selepas dilantik kali pertama, hari ini.

Menurutnya, pembangkang juga tidak menamakan mana-mana calon untuk jawatan itu, sekali gus menjadikan beliau sebagai calon tunggal.

“Mereka tidak mencalonkan sesiapa… sebagai seorang peguam yang tahu serba sedikit undang-undang, kalau seseorang itu sebagai calon (tunggal) tak perlu undian,” katanya.

Azhar berkata kerajaan menawarkan jawatan itu kepadanya sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

Beliau menganggap tawaran jawatan itu sebagai satu kebanggaan kepada beliau dan keluarga, selain peluang untuk berkhidmat kepada negara.

“Kita akan cuba kawal Dewan Rakyat. Itu tugas saya dan timbalan yang dipertua, kita akan cuba sedaya upaya pertahankan peraturan mesyuarat,” kata Azhar.

Pelantikan beliau sebagai speaker mengundang kekecohan sewaktu persidangan Dewan Rakyat hari ini, apabila usul mengosongkan kerusi speaker dicadangkan Perdana Menteri Muhyidin Yassin.

Usul berkenaan adalah untuk membolehkan Mohamad Ariff Md Yusuf digugurkan daripada jawatan tersebut dan pelantikan Azhar dibuat.

Usul menggugurkan Ariff disokong 111 ahli Parlimen dengan 109 menolak.

Azhar kemudiannya dilantik tanpa sesi pengundian yang mencetus bantahan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming kemudiannya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat sebagai tanda solidariti bersama Ariff. – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen