Kerajaan gagal buktikan Malaysiakini berniat siar komen pembaca, kata peguam bela


Bede Hong

Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan tidak tahu mengenai komen pembaca sehinggalah pada jam 12.45 tengah hari, 12 Jun, kata peguam bela. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Julai, 2020.

PEGUAM kerajaan gagal membuktikan Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan tahu atau mempunyai niat untuk menerbitkan lima komen pembaca yang menghina kehakiman, pasukan pembelaan portal itu memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pada perbicaraan kes menghina mahkamah yang dipengerusikan panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf hari ini, peguam utama pembelaan, Malik Imtiaz Sawar berkata Malaysiakini dan Gan tiada niat untuk menerbitkan komen yang dibuat oleh pihak ketiga.

Komen disiarkan di portal berita itu pada 9 Jun, berkenaan arahan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat supaya mahkamah dibuka semula 1 Julai susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Malik berkata Gan tidak tahu mengenai komen berkenaan sehinggalah pada jam 12.45 tengah hari, 12 Jun. Beliau memberitahu mahkamah, komen dipadam 12 minit selepas Malaysiakini dimaklumkan oleh polis.

Peguam itu seterusnya berhujah bahawa kerajaan tidak dapat membuktikan tanpa keraguan munasabah mengenai penerbitan yang disengajakan, menambah Malaysiakini tiada kawalan untuk memeriksa lebih daripada 2,000 komen pembacanya setiap hari.

Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan Gan berdasarkan lima komen pembaca mengenai kehakiman, yang menurutnya menyalahi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy ketika berhujah berkata, mengikut Seksyen 114A Akta Keterangan seseorang yang membantu menerbit atau menerbitkan semula komen dianggap telah dianggap menerbitkannya.

S Narkunavathy seterusnya berhujah Malaysiakini dan Gan perlu bertanggungjawab kerana tidak menggunakan sistem untuk menapis komen. – 13 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen