KETIKA Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berjaya menggugurkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof selepas usul itu mendapat 111 undian, ia turut menunjukkan betapa tipis majoriti yang dimilikinya.
Sumber dari pembangkang berkata kerajaan Perikatan Nasional kini memiliki 113 ahli Parlimen, termasuk Timbalan Speaker Rashid Hasnon yang tidak mengundi hari ini dan seorang lagi ahli Parlimen yang tidak hadir.
Undian untuk menggugurkan Ariff dibuat dengan undi belah bahagi.
“Daripada rekod kami, hanya 111 daripada 113 yang mengundi usul Muhyiddin kerana seorang tidak hadir dan Timbalan Speaker Rashid Hasnon Batu Pahat-Bersatu) tidak mengundi kerana beliau speaker,” kata salah seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Dewan Rakyat mempunya 222 ahli Parlimen.
Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Maximus Ongkili dari Sabah (Kota Marudu-PBS).
Maximus dilaporkan dimasukkan ke hospital pada 10 Julai lalu.
“Ini bermakna Muhyiddin hanya ada majoriti tipis dan dengan hanya seorang ahli Parlimen yang sakit ia akan mengalahkan undian usul atau rang undang-undang,” kata ahli Parlimen berkenaan.
Di pihak pembangkang, semua 109 ahli Parlimen mengundi untuk mengekalkan Mohamad Ariff.
Menurut sumber, 109 ahli Parlimen itu terdiri daripada 92 dari Pakatan Harapan, Warisan dan Upko (10), lima ahli Parlimen Bebas yang diketuai Dr Mahthir Mohamad dan dua dari Parti Sarawak Bersatu.
Mereka yang bersama Dr Mahathir termasuk Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amirudin Hamzah (Kubang Pasu), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar).
Dua lagi dari Sarawak adalah ahli Parlimen Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian (Selangau) dan Masir Kujat (Sri Aman).– 13 Julai, 2020.
Komen