Tak ada rancangan untuk potongan cukai taksiran, kata Annuar


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata DBKL tidak merancang untuk memberikan potongan cukai taksiran namun mereka yang bermasalah boleh membayar secara ansuran sehingga akhir Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merancang untuk memberikan potongan terhadap cukai taksiran, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa hari ini.

Annuar berkata DBKL dan agensi-agensi lain yang berkaitan di bawah kementeriannya sudah melancarkan inisiatif berjumlah RM100 juta untuk meringankan beban warga kota.

Ini termasuk penangguhan pembayaran untuk skim perumahan yang dikendalikan oleh DBKL dan sewa untuk premis perniagaan yang dimiliki oleh dewan bandar raya untuk jangka masa enam bulan.

“Setakat ini DBKL tidak merancang untuk memberikan potongan cukai taksiran.

“Meskipun demikian bagi mereka yang berdepan masalah, mereka dapat menangguhkan pembayaran cukai taksiran atau membayar secara ansuran sehingga akhir Disember 2020,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat tahun ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (Bukit Bintang-PH) mengenai adakah DBKL akan mempertimbangkan potongan cukai taksiran untuk meringankan beban penduduk berikutan wabak Covid-19.

Annuar menambah bahawa tidak ada peruntukan di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan yang membenarkan potongan cukai taksiran.

Bagaimanapun di bawah Seksyen 162 pemilik premis yang tidak dapat menyewakan premis mereka boleh memohon pengecualian bayaran. 

Sementara itu, di bawah Seksyen 134 dan 135 akta yang sama, pengecualian dapat diberikan kepada premis yang digunakan sebagai kemudahan awam atau untuk tujuan rekreasi dan sosial.

“DBKL akan mempertimbangkan perkara-perkara tertentu di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan tetapi tidak ada peruntukan untuk potongan secara menyeluruh dalam undang-undang tersebut,” katanya.

Annuar (Ketereh-BN) berkata terdapat juga usaha pelbagai kementerian untuk menyediakan mikrokredit bagi perniagaan kecil peniaga di bandar.– 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen