Kes pertikaian kontrak syarikat Malaysia-China meningkat, kata persatuan


Khoo Gek San

Pelaksanaan PKP di Malaysia menyebabkan gangguan terhadap aktiviti perjalanan, pembuatan dan bekalan rantaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.

GANGGUAN rantaian bekalan semasa dunia berkurung akibat pandemik Covid-19 menyaksikan peningkatan jumlah syarikat Malaysia dan Cina yang meminta bantuan perundangan bagi menangani kes pelanggaran kontrak.

Presiden Persatuan Kerjasama Perundangan Malaysia-China CW Loh berkata perintah pengurungan menyebabkan gangguan terhadap perjalanan, pembuatan dan bekalan rantaian.

Jumlah syarikat Malaysia-China yang mendapatkan khidmat guaman daripada persatuan itu meningkat dua kali ganda.

“Satu pertiga daripada mereka mahu berunding manakala satu pertiga lagi mahu mengambil tindakan undang-undang.

“Bakinya mahu menunggu dan melihat,” kata Loh kepada The Malaysian Insight.

Isu itu diburukkan lagi dengan perbezaan hal perundangan antara kedua-dua negara.

Memandangkan Malaysia dan China saling tidak mengiktiraf sistem perundangan dan mahkamah masing-masing, timbang tara menjadi cara penting untuk menyelesaikan perselisihan dengan situasi menang-menang, kata Loh.

Beliau berkata syarikat China secara umumnya mahu berunding kerana mereka faham kelewatan yang berlaku tidak disengajakan tetapi mereka memberi amaran bahawa caj perundangan akan meningkat berbanding biasa kerana ia melibatkan urusan merentasi sempadan secara sah.

“Kita tidak tahu lagi berapa jumlah wang yang boleh dituntut dalam kes ini, tetapi jika kedua-dua pihak sedia untuk mengemukakannya ke timbang tara, maka kita akan tahu jumlahnya.

“Namun disebabkan faktor rentas sempadan dalam kes-kes ini, kita perlu menyediakan dokumen bagi kedua-dua pihak dalam bahasa masing-masing, Cina dan English, dan ini akan mengundang kos lebih tinggi.

“Selain itu, ada juga kos staf, perjalanan dan penginapan yang perlu diambil kira,” kata Loh.

Beliau berkata selagi jumlah yang terlibat tidak terlalu tinggi, peguam kebiasaannya akan menyarankan proses timbang tara.

Loh berkata kebanyakan nasihat yang dicari melibatkan e-dagang, gangguan pada rantaian bekalan tenaga solar, kenaikan harga bahan mentah untuk membuat topeng dan sarung tangan, serta perdagangan minyak sawit.

“Jika syarikat bersetuju pada satu-satu harga tetapi berdepan kenaikan harga atau kekurangan bekalan akibat pandemik, ia boleh dianggap melanggar kontrak.

“Pihak yang membekal biasanya tidak mahu menaikkan perbelanjaan bagi mengikut syarat kontrak kerana mereka mendapati lebih murah untuk melanggar kontrak dan membayar pampasan,” katanya. – 13 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen