Komplot Umno ketepikan Bersatu masih berterusan, kata ketua Pemuda DAP 


Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata Umno mungkin akan mewujudkan naratif tertentu sebagai usaha untuk melemahkan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.

RANCANGAN Umno untuk mengetepikan sekutunya Bersatu masih diteruskan yang mana pemimpin dari parti itu sedang mencipta naratif untuk memberikan tamparan terakhir, kata Ketua Pemuda DAP Howard Lee.

Lee yang juga Adun Pasir Pinji berkata, Umno perlu merancang di belakang tabir bagi mencapai sasaran ini dan dalam masa yang sama tidak mahu meletakkan dirinya sebagai parti yang memecahbelahkan agenda perpaduan Melayu.

“Umno kini tidak lagi mahu dilihat sebagai parti yang menjadi asbab untuk memecahkan penyatuan parti-parti Melayu ini,” kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.

“Sekiranya Umno terus menerus bergocoh dengan Bersatu, sudah tentu ini akan menyebabkan mereka dilihat sebagai antagonis di dalam penyatuan palsu ini.

Bagaimanapun katanya, sudah ada tanda-tanda bahawa parti nasionalis Melayu itu sedang berusaha untuk melemahkan parti itu.

“Ia akan membawa naratif Bersatu meminta lebih dari nilai mereka, kononnya Bersatu mendapat habuan yang lebih dan akhirnya naratif Bersatu telah mengkhianati perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Keadaan ini kelak akan dilihat begitu tersusun rapi sebagai perbezaan polisi dan ideologi di antara Muafakat Nasional dan Bersatu yang muncul entah dari mana,yang akhirnya akan membawa kepada pengakhiran kepada penyatuan yang tidak lagi mampu dipertahankan.

Menurutnya, apabila kisah ini dicorak dengan keretakan antara Muafakat Nasional dan Bersatu, rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi Melayu akan mencapai tahap didihnya, dan Umno sudah pasti akan mengambil langkah untuk memutuskan penyatuan ini.

Lee juga menyatakan Umno mungkin akan sedekah beberapa kerusi Parlimen untuk Bersatu, sebagai tanda belas kasihan namun ia tidaklah bermakna lagi.

“Atau, mereka akan menghulurkan talian hayat dalam bentuk jemputan untuk kembali menyertai Umno; yang mana faktanya hal ini telahpun ditayangkan kepada khalayak secara terang-terangan. 

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa pemimpin kanan Umno mula bersuara mengenai parti itu yang hanya berperanan sebagai pembantu kepada Bersatu yang menerajui kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional.

Menurut mereka, Umno sepatutnya menjadi parti yang menerajui gabungan itu dan bukan yang di bawah Bersatu.

Pemimpin Umno ini juga telah mula membincangkan secara terbuka untuk merebut kembali kerusi yang dimenangi parti tersebut pada pilihan raya umum lalu tetapi dipegang oleh pemimpin yang telah berpaling tadah dan menyertai Bersatu. – 12 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen