Saifudin tukang jahit dari Bangladesh


Zainal Rashid Ahmad

SAIFUDDIN tukang jahit pilihan utama saya sejak 2013. Dia mahir dan faham cara “alter” terutama mengubah suai potongan tetapi mengekalkan nilai ikonik jeans vintaj.

Saifudin tidak pandai dalam sehari. Pengalaman setahun sebagai tukang jahit di Dhaka, Bangladesh, sekadar mengajarnya menjahit pakaian secara rencam.

Apabila tiba di Kuala Lumpur pada 2012, dia bekerja sebagai pencuci bangunan. Namun, akhirnya memilih menjadi tukang jahit kerana gajinya lebih baik.

Sebelum dibenarkan menjahit jeans dan kemeja berjenama, Saifudin hanya membantu kerja-kerja “ukur dan tanda”.

“Enam bulan kerja baru bos kasi jahit seluar biasa. Mana mahal punya jeans saya tak jahit sebab takut pelanggan bising,” katanya.

Mengenali Saifudin bukan setakat tukang jahit. Malah, saya kenal tunangnya – kami sempat berbual dalam panggilan video Saifudin.

Sekadar salam dan bercakap itu ini dalam bahasa “ayam dan itik.”

Selama Saifudin menjadi tukang jahit pilihan, saya mengajarnya tips dalam “nilai ubah suai” potongan seluar. Terutama jeans vintaj dan berjenama.

“Kau mesti jaga empat benda,” kata saya.

Pertama: jangan sentuh tanda niaga (tag) utama tiap jenama.

Kalau Levi’s jangan tanggalkan benang di sisi luar seluar. Ia akan mengubah kedudukan “kepala kain” dan menjejaskan “takek atau rel”.

“Takek dan rel ialah nilai ikonik bagi jeans Levi’s vintaj,” kata saya.

Kedua: jangan memotong sembarangan pada seluar yang koyak. Kalau melakukan tampalan, ukuran kain penampal mesti minimal bersesuaian keperluan untuk ditampal.

Ketiga: Jangan sesekali melebihkan atau mengurangi tiap inci ukuran yang diminta pelanggan. Sekalipun hanya setengah inci, ia boleh mengubah keselesaan pemakai.

Keempat: Selepas selesai kerja, kekemasan sisa benang dan susun jahitan mesti diperiksa.

Pastikan benang baru yang dijahit kelihatan kemas mengikut struktur asal jeans vintaj.

“Terima kasih abang, aku belajar banyak cara mahu jaga semua pakaian vintaj sekarang,” katanya.

Ketekunan Saifudin (dilahirkan di Dhaka pada 1990), menjadikan dia tukang jahit regular saya di Kompleks Pertama.

Kenangan pada tampalan seluar

Apalagi, selain jahitan, saya mengajarnya memahami satu demi satu seni tampalan seluar ala “boroboro” dalam budaya Jepun.

“Tiap tampalan seluar ada memori. Jadi, kita tampal satu demi satu dan bentuk tampalan mesti berkaitan dengan memori.

“Apabila kita melihat semula tiap tampalannya nanti, sehelai seluar seperti album kenangan,” kata saya.

Sejak itu, tiap kali menampal seluar yang koyak, saya menggambarkan pada Saifudin bentuk tampalan, warna benang dan kemasan akhir.

Semuanya mesti menepati dan sesuai dengan imej kenangan yang diinginkan.

“Saya tidak pernah tahu, orang simpan kenangan pada tampalan seluar,” kata Saifudin mengerutkan dahi.

Selain hasil kerja yang kemas, harga upahnya lebih murah berbanding tukang jahit lain. Selebihnya, dia sentiasa menepati waktu.

Bukan saja soal temu janji tempoh jahitan, tetapi Saifudin sudah tercegat di kedai setiap hari tepat 10 pagi. Saifudin hanya pulang pada 8.30 malam.

Dia juga bekerja tujuh hari seminggu. Cuma, pada Ahad - kedai dibuka 1 petang dan ditutup 7 malam.

“Malam aku pergi sana Masjid India sembahyang dan terus jalan rumah kawan di Malay Mansion,” katanya.

Pertama Kompleks tanpa Saifudin

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac hingga 12 Mei - nasib Saifudin sukar diramal.

Selain kehilangan pendapatan kerana semua kompleks perniagaan ditutup - tempoh PKP menimbulkan sentimen anti pekerjaan asing.

Operasi gempur pendatang asing di Jalan Masjid India pada 1 Mei dan di di sekitar Pasar Borong pada 11 Mei antara mimpi ngeri buat Saifudin.

Dia memiliki permit bekerja tetapi bidangnya ialah pencuci bangunan. Mustahil Saifudin boleh kembali sebagai tukang jahit selepas PKP berakhir.

“Saya mau balik Bangladesh 2021. Mau kahwin dan mau bikin itu kolam ikan. Sudah lama kerja dan ada simpan wang mau hidup sana kampung,” kata Saifudin.

Saya teringat kata-kata itu ketika kami berbual di Komplek Pertama lama dulu.

Saya mengunjungi kedai tempat Saifudin bekerja pada Jumaat lepas. Dia tiada di situ. Tempatnya digantikan dengan dua tukang jahit warga Pakistan.

Semua wajah tukang jahit di Komplek Pertama terutama di kalangan pekerja asing hampir tidak dikenali.

Tukang jahit warga Indonesia berasal dari tanah Minang, Sumatera juga langsung tidak kelihatan.

Di tangan saya sehelai Levi’s 501 vintaj Made In USA edisi pasaran Japun.

Saya terdiam dan teringat Saifudin. Sejak 2013, lelaki asal Dhaka Bangladesh itulah tukang jahit paling dipercayai.

Dia pilihan saya kerana memahami seni jahitan “zigzag” pada jeans dan sudah mahir menghasilkan tampalan seni ala “boroboro”.

Apalagi, hari itu saya mahu menghasilkan tampalan “boroboro” mengenang seluar hadiah yang diberikan seorang sahabat.

Di depan kedai jahit yang selama ini menjadi tempat Saifudin berdiri, saya mendengar dua warga Pakistan bertutur bahasa Urdu.

Empat bulan selepas PKP keadaan dan nasib pekerja asing sangat berubah.

Saya yakin, pekerja asing tanpa permit atau yang masuk ke negara ini tetapi tidak menepati jenis pekerjaan mengikut permit pasti ditahan dan dihantar pulang.

“Saya mahu buka kolam ikan sebab sana kampung tanah banyak.”

Saya teringat kata-kata Saifudin.

Saya terbayang seorang tukang jahit yang halus kerja tangannya, yang sentiasa mahu belajar mengenai seni “alter” dan kehalusan tampalan “boroboro”.

Saifudin kini mungkin sudah di Dhaka dan mengerjakan kolam ikan di kampungnya. Atau, sudah berkahwin.

Semoga anda berjaya Saifudin. β€“ 11 Julai, 2020. 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen