Golongan muda sebagai katalis politik


SELEPAS beberapa rencana sebelum ini yang menyentuh hal politik dari perspektif Pakatan Harapan (PH) sehingga ada rakan-rakan dalam kalangan parti merasa kurang selesa kerana seolah-olah saya mengkritik parti atau pimpinan, saya akan menyentuh mengenai Perikatan Nasional (PN).

PN tertubuh atas gerakan politik satu kumpulan yang mahu mengambil alih kuasa. Pada masa sama, kumpulan ini adalah mereka yang menolak dan membenci Anwar Ibrahim dan DAP. Itu sahaja. 

Cita-cita kumpulan ini tidak berdasarkan naratif perjuangan membela nasib rakyat. PH hatta Umno itu sekalipun, sebaliknya ada naratif perjuangannya. Sejarah telah merakamkan semua detik-detik perjuangan mereka pada zaman-zaman itu. 

Dari sisi lain, PN tidak muncul dari perjuangan rakyat baik di jalan raya atau kampung-kampung seperti Tunku Abdul Rahman yang bersusah payah mengutip derma dari rakyat untuk ke London bagi mendapatkan kemerdekaan. PN tiada naratif ini, dan inilah kelompongannya.

Kita tidak boleh lekas lupa bahawa perjuangan menjatuhkan kerajaan kleptokrat sebelum ini, bukanlah perjuangan untuk menjatuhkan Najib Razak dan sekutunya semata-mata. 

Perjuangan itu sebaliknya perjuangan adalah untuk menjatuhkan satu daulah dengan Umno sebagai paksi yang telah merosakkan sistem dan integriti sistem negara.

Hari ini, PN boleh dianggap sebagai sebuah kewujudan yang bersifat ‘artificial’ ke atas rakyat. Mereka yang mendukung Najib dan kerajaan kleptokrat pada suatu masa dulu, kini menjadi rakan kongsi mereka yang pernah menentang kerajaan kleptokrat. 

Saya ada bercakap sendiri dengan beberapa rakan-rakan yang muda Bersatu. Mereka sependapat bahawa mereka tidak gemar bekerjasama dengan Umno, bukan hanya kerana legasi Najib sebaliknya kerana budaya korupsi Umno inilah yang membawa mereka keluar dan menubuhkan Bersatu pada asalnya.

Ini memberi gambaran bahawa pimpinan di atas sebelum ini rupa-rupanya hanya menolak Najib dan sekutunya, bukan Umno.

Kerajaan ‘artificial’ ini tidak kukuh dari segi struktur dan idealismenya. PN perlukan mandat baharu bagi mengukuhkan naratif politik mereka jika mahu kekal relevan.

Sayangnya, defisit politik PN ini belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PH yang masih tersangkut dengan isu-isu lama.

Di sinilah alasan saya mengajukan pandangan bahawa peranan politikus muda menjadi amat penting bagi PH malah rakyat Malaysia amnya. 

Saya tidak mengatakan bahawa pemimpin muda dijamin lebih baik berbanding tokoh veteran, sebaliknya pemimpin muda lebih mudah dibentuk atau dilentur.

Ini tidak ada pada politikus veteran yang menjadi simbol status quo baik dalam parti, malah dalam kerja melaksanakan agenda reformasi ekonomi, sosial, pendidikan, sains dan kebudayaan.

Dari aspek demografi juga kita boleh lihat bahawa pengundi dalam kalangan muda atau generasi kelahiran 70, 80 dan 90-an lebih signifikan jumlahnya berbanding generasi yang lain. 

Dalam sistem demokrasi, jumlah bukan sahaja soal kuantiti tetapi kuantiti kumpulan itu juga perlu bersandarkan kepada mereka yang aktif atau terdedah dalam amalan demokrasi baik secara langsung mahupun tidak langsung. 

Kuantiti hanya akan menjadi lebih signifikan apabila kualiti (penyertaan) dalam ruang demokrasi, baik menerusi media sosial dan ekonomi itu aktif. 

Inilah ciri-ciri generasi muda zaman ini yang boleh dimanfaatkan sebagai katalis yang akan melakar naratif baharu masa depan negara. – 11 Julai, 2020.    

*Mahdzir Ibrahim, AJK DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen