Putrajaya mahu rakyat Malaysia keluar beli belah, bercuti dalam negara


Noel Achariam

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata kerajaan mahu rakyat kembali menjalani aktiviti harian dengan yakin bahawa penularan wabak Covid-19 sudah berjaya dikekang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Julai, 2020.

PUTRAJAYA akan melancarkan kempen bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk keluar membeli-belah dan menikmati percutian tempatan bagi memacu ekonomi negara, kata Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata kerajaan mahu rakyat kembali menjalani aktiviti harian dengan yakin bahawa penularan wabak Covid-19 sudah berjaya dikekang.

“Kita faham bahawa rakyat masih skeptikal untuk keluar ke tempat awam walaupun selepas restoran dibenarkan beroperasi.

“Kita sudah melakukan yang terbaik untuk menangani kebimbangan mereka tetapi kita perlu memulihkan keyakinan mereka,” katanya pada sesi ramah mesra di Jalan Alor hari ini.

Annuar berkata bagi memulihkan keyakinan umum, amat penting untuk kerajaan terus melakukan proses pembasmian kuman di sekitar ibu negara dan menggalakkan pelancongan tempatan.

“Kita tidak akan mengambil mudah soal kebersihan dan keselamatan.”

Annuar berkata kempen itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kempen ini bagi menggalakan rakyat untuk keluar dan membeli barangan buatan Malaysia.

“Kita juga mahu mereka menikmati kecantikan destinasi pelancongan dalam negara.”

Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos selepas PKP dimulakan pada 18 Mac bagi mengekang Covid-19.

Pelaksanaan PKPP menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula selain aktiviti merentas negeri dibenarkan semula.

Bagaimanapun polis terus memantau tahap pematuhan keselamatan dan kesihatan bagi mengelakkan berulangnya penularan Covid-19. –  11 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen