Telahan terhadap tahap integriti generasi akan datang


BAGI kebanyakan kami para pensyarah yang dengan secara mendadak telah dikehendaki membuat pengajaran, peperiksaan dan penyeliaan projek pelajar melalui talian, empat bulan yang lepas adalah satu tempoh yang penuh dengan tekanan. 

Pengumuman bahawa kesemua universiti awam akan dibuka semula pada bulan Oktober ini adalah satu langkah yang amat dialu-alukan.

Kesulitan yang dihadapi dalam pelaksanaan pengajaran dalam talian, terutama sekali apabila ia diarahkan dengan tergesa-gesa, telah banyak dibicarakan. 

Apa yang saya ingin kemukakan di sini adalah beberapa perkembangan baru yang amat menggusarkan yang telah ditemui semasa melaksanakan sistem pengajaran dalam talian, yang kebanyakannya menjurus kepada beberapa perbuatan tidak jujur akademik yang dilakukan oleh para pelajar. 

Sedar akan kepincangan infrastuktur yang wujud dalam sistem pembelajaran melalui talian seperti masalah ketiadaan WiFi atau komputer riba, pelajar-pelajar ini telah menggunakan masalah-masalah ini sebagai helah untuk tidak menghadiri kelas atau menduduki peperiksaan, walaupun sebelum ini mereka berkata tiada sebarang masalah berkaitan isu komputer atau WiFi di rumah masing-masing.

Lagi satu dapatan yang memeranjatkan adalah betapa rendahnya tahap integriti yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini semasa menduduki peperiksaan dalam talian. 

Ramai mengambil jalan mudah dengan memberi jawapan yang dicedok bulat-bulat dari internet, termasuklah yang memberikan jawapan yang salah. Walaupun setelah ditangkap dan diberi amaran, kebanyakan mereka tanpa rasa bersalah atau takut masih sanggup melakukan perkara yang sama.

Bagi membolehkan mereka menambah baik markah peperiksaan yang rendah, pelajar-pelajar ini telah diarahkan untuk memajukan satu kertas tugasan. Di sini satu lagi perkara yang meneranjatkan telah ditemui. 

Sedar akan penulisan yang diplagiat mereka akan dapat dikesan melalui perantian “turnitin”, mereka telah menggunakan program parafrasa bagi mengubah ayat-ayat yang diciplak. 

Malangnya mereka gagal untuk menyemak hasil parafrasa tersebut yang hanya merupakan serpihan-serpihan ayat yang perlu diperbetulkan tatabahasanya. 

Akibatnya kertas-kertas penugasan yang mereka majukan hanyalah merupakan sekumpulan ayat-ayat berbahasa Inggeris yang tidak boleh difahami. 

Apa yang dapat dirumuskan dari peristiwa ini ialah sebahagian daripada anak muda kita yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan tidak mempunyai tahap etika yang sewajarnya dalam jiwa sanubari mereka. 

Mereka tanpa ragu-ragu sanggup menipu walaupun telah diberi amaran. Mereka juga tidak sanggup untuk bekerja keras, malah lebih gemar untuk mencari jalan mudah yang tidak beretika dalam menyelesaikan masalah-masalah mereka. 

Walaupun mereka telah diberikan peluang untuk memasuki institusi pengajian tinggi, peluang ini tidak mereka hargai.

Pertama, pelajar-pelajar ini langsung tiada motivasi untuk belajar. Dengan cambahan jumlah universiti di negara ini dan syarat kemasukan yang tidak sesukar jika dibandingkan dengan universiti di luar negara, ditambah pula dengan yuran yang rendah dan disubsidi, nilai dan  martabat pengajian di universiti dengan sekali gus telah diturunkan.

Kedua, universiti tidak lagi dianggap sebagai institusi pengajian tinggi yang disanjung. Pengurusan akademik yang lemah dan cara pengendalian kes-kes kecurangan akademik yang dibuat secara separuh lewa telah menanamkan sikap dalam kalangan pelajar bahawa mereka boleh melanggar apa-apa saja etika akademik dengan hanya diberi amaran dan tidak akan dibuang pengajian. 

Ketaasuban universiti untuk mencapai tahap kelulusan pelajar yang tinggi juga telah menyebabkan pensyarah yang menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan betul dianiaya dan dianggap sebagai musuh dan pengacau.

Ketiga, sikap dalam kalangan pensyarah yang sanggup menutup mata sebelah terhadap kes-kes kecurangan akademik pelajar semata-mata untuk menentukan tahap kelulusan pelajar di kelas mereka tinggi juga merupakan faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. 

Yang paling mengecewakan sebahagian pensyarah-pensyarah ini juga rancak melakukan kesalahan yang sama. Jadi tidak hairanlah jika isu kecurangan akademik ini tidak dapat dibendung apatah lagi dihapuskan.

Hakikatnya kita sedang menghadapi masalah tahap etika dan integriti yang rendah dalam kalangan generasi muda yang amat merisaukan. 

Adakah ia ada hubung kait dengan budaya? Dari manakah sikap buruk ini mereka kutip? 

Mungkin Kementerian Pengajian Tinggi atau 115 ilmuan ada jawapannya. – 11 Julai, 2020.

* Teh Yik Koon, ahli akademik di sebuah universiti awam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen