Misi Khairuddin: Buat Dr Mahathir berbaik dengan Muhyiddin


Diyana Ibrahim

Khairuddin Hassan (tengah) turut menyatakan hasrat untuk menyertai parti Bersatu semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

SEORANG penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan memulakan misi baharu – mendamaikan persengketaan di antara pemimpin kesayangannya itu dengan Muhyiddin Yassin.

Biarpun sukar, Khairuddin berkata beliau tetap optimis masih ada lagi ruang rundingan dan pendamaian antara dua pemimpin itu yang masing-masing pengerusi dan presiden parti Bersatu.

“Sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir duduk semeja berunding dengan Muhyiddin Yassin ke arah merapatkan saf perjuangan bagi membina semula ekonomi negara kita demi masa depan rakyat jelata

“Dalam isu ini saya amat yakin masih ada ruang untuk berunding. Saya tidak kisah menjadi orang tengah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas keluar dari Umno pada 2015 beliau bersama Dr Mahathir mengasas Bersatu namun hanya dalam masa singkat. Khairuddin meninggalkan parti tersebut pada tahun berikutnya.

Beliau seterusnya menyertai Amanah dan bertanding di kerusi Parlimen Jasin sebagai calon parti itu dalam PRU14.

Semalam Khairuddin mengumumkan keluar dari Amanah kerana tidak lagi mempercayai kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Pakatan Harapan.

Beliau kini berhasrat untuk menyertai parti Bersatu semula.

Tindakan itu diambil ketika gabungan parti itu masih belum berjaya mencapai kata sepakat untuk menamakan calon perdana menteri untuk mengambil alih kerajaan semula.

Jelasnya beliau juga tidak mahu DAP dan Amanah terus “memperbodohkan diri” dan “membiarkan ditipu Anwar”.

Katanya, beliau berpendirian demikian kerana mendakwa Anwar tidak pernah menguasai sokongan ahli Dewan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan.

“Anwar selama ini menipu bahawa beliau mendapat majoriti ahli Parlimen menyokongnya sebagai calon perdana menteri kesembilan,” tambahnya.

Sudah tiba masanya Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berunding ke arah merapatkan saf perjuangan bina semula ekonomi, kata Khairuddin Abu Hassan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2020.

Beliau berkata demikian dengan merujuk keputusan Majlis Presiden PH yang menamakan semula Anwar sebagai calon perdana menteri.

Keputusan itu ditegaskan dalam kenyataan bersama Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng beberapa hari lalu.

Keputusan itu dibuat Majlis Presiden selepas Dr Mahathir mendedahkan hasil perbincangan tidak rasmi mencadangkan Presiden Warisan Shafie Afdal sebagai calon perdana menteri.

Mengikut pelan itu, Anwar dinamakan calon timbalan perdana menteri pertama dan anak Dr Mahathir, Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah sebagai calon timbalan perdana menteri kedua.

Menurut Dr Mahathir, ia dirancang dan dipersetujui di antara pemimpin Warisan, Amanah, DAP dan pengikut Dr Mahathir tanpa penyertaan pemimpin PKR.

PKR bagaimanapun tetap berkeras agar Anwar dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Mengulas perkembangan itu, Khairuddin berkata beliau menganggapnya sebagai tindakan tidak ikhlas kerana PH tidak ikhlas mengotakan janji kepada Dr Mahathir.

Khairuddin yang turut dikenali sebagai orang kuat Dr Mahathir mendedahkan kemungkinan akan menyertai Bersatu semula.

Khairuddin seterusnya menyatakan berhasrat agar Dr Mahathir tidak terus lagi bekerjasama dengan Amanah, DAP dan PKR.

“Apa pun saya hanya ingin lihat parti DAP dan Amanah diheret seterusnya tenggelam buat selama-lamanya dengan Anwar. Kalangan ini semua cepat lupa sejarah.

“Mereka juga amat tidak ikhlas depan Dr Mahathir cakap lain tapi di belakang buat lain.

“Sebab itu saya seringkali pujuk Dr Mahathir agar tinggalkan saja PH,” katanya.

Katanya, sikap yang berbeza ditunjukkan pemimpin PN yang ikhlas mahu menerima Dr Mahathir semula.

“Jasa dan pengorbanan Dr mahathir terlalu banyak pada bangsa, agama serta tanahair.

“Tokoh negarawan ini wajar dinobatkan di tempat yang mulia dan saya amat yakin Muhyiddin juga ikhlas untuk melihat keadaan ini tercapai,” katanya.

Langkah berkenaan diusahakan ketika Muhyiddin kini berdepan tekanan dari Umno dan PAS yang masing-masing mahu merebut kerusi di kawasan majoriti Melayu dalam PRU15.

Kempen untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi mengadakan PRU itu juga digerakkan pemimpin Umno dan PAS yang menguasai banyak kerusi berbanding Bersatu.

Umno dan PAS sudahpun mencapai persetujuan untuk tidak bertembung dalam PRU. Bersatu bagaimanapun tidak termasuk dalam persetujuan itu. – 11 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen