Masanya kita cari ikon politik baharu, kata Saifuddin Abdullah


Desmond Davidson

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mendedahkan logo dan tema Hari Malaysia di Kuching, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

MEMANDANGKAN kemelut siapa calon perdana menteri pembangkang terus berlarutan, mungkin sudah tiba masanya rakyat Malaysia mencari ikon politik baharu negara, kata Saifuddin Abdullah.

Menteri multimedia dan komunikasi kerajaan Perikatan Nasional itu berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru kemelut tersebut apabila Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi ahli Parlimen mengumumkan menjadi blok bebas kerana perbezaan pandangan mengenai calon perdana menteri Pakatan Harapan.

“Saya fikir sudah tiba masanya kita cari ikon politik baharu demi masa depan Malaysia,” katanya di Kuching, hari ini.

Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen dari Bersatu hari ini mengumumkan mereka akan terus menyokong Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal walaupun tiga lagi parti komponen PH- PKR, DAP dan Amanah- menyatakan sokongan sebagai Anwar Ibrahim untuk menjadi calon perdana menteri pembangkang.

Ahli Parlimen Langkawi berusia 95 tahun itu adalah muka lama politik Malaysia, bergelut dalam arena lebih 70 tahun dan dua kali menjadi perdana menteri. Kali pertama, selama 22 tahun daripada 1980 hingga 2003 dan kali kedua bermula Jun 2018 hingga Februari 2020.

Saifuddin berada di Kuching hari ini untuk mengumumkan bandar yang akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia serta logo dan tema hari bersejarah itu.

Sibu dipilih menjadi tuan rumah sambutan pada 16 September dengan tema “Malaysia Prihatin”.

Menteri Utiliti Sarawak Dr Stephen Rundi yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa penganjuran bersama-sama Saifuddin, berkata Sibu dipilih kerana Kuching sudah menjadi tuan rumah tahun lepas manakala Miri pula menjadi tuan rumah sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak juga diraikan tahun lepas.

Logo sambutan tahun ini berbentuk hati Jalur Gemilang.

Saifuddin berkata tema tahun ini adalah untuk menggambarkan perpaduan rakyat Malaysia yang terserlah ketika negara memerangi Covid-19 serta keutamaan kerajaan menjaga kesejahteraan rakyat yang terjejas teruk kerana wabak itu. – 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen