Pekerja kedai terima 11 jahitan ditetak penyamun


SEORANG pekerja kedai perabot warga Pakistan menerima 11 jahitan di kepala akibat ditetak penyamun menggunakan parang dalam satu kejadian samun di Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara, di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.30 petang, dan selepas menerima laporan, tindakan pantas polis berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berumur 27 tahun di Bandar Tenggara di Kota Tinggi, kira-kira sejam selepas kejadian.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata suspek yang bersenjatakan sebilah parang telah memasuki kedai berkenaan dan menetak warga Pakistan berumur 41 tahun itu sebelum merampas wang tunai RM300 di dalam laci kedai dan melarikan diri.

Menurutnya suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah, kini direman selama tujuh hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.

“Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian,” katanya dan menambah lelaki warga Pakistan itu berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik swasta. – Bernama, 10 Julai, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen