Peletakan jawatan Azhar jejas proses reformasi pilihan raya, kata Poay Tiong


Peletakan jawatan Azhar Azizan Harun dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat berkemungkinan akan menggagalkan proses reformasi pilihan raya yang dimulakan oleh Pakatan Harapan (PH) – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

PELETAKAN jawatan Azhar Azizan Harun dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencetuskan kebimbangan dalam usaha untuk mereformasikan proses pilihan raya akan dihentikan di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, kata Ahli Parlimen Kota Melaka. 

Khoo Poay Tiong berkata pengunduran diri Azhar kini menimbulkan keraguan terhadap prospek reformasi pilihan raya selanjutnya. 

“Walaupun begitu saya menyeru baki anggota SPR untuk tetap teguh dan menyelesaikan pembaharuan yang telah mereka mulakan,” katanya. 

Di bawah Azhar yang terkenal dikenali sebagai Art Harun, suruhanjaya itu sudah melakukan pembaharuan sistem pengundian secara bertahap. 

Ini termasuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun, sistem pendaftaran automatik yang dijadulkan dilaksanakan tahun hadapan dan meningkatkan kebolehcapaian tempat mengundi bagi orang kurang upaya dan warga emas.

Selain itu proses pengundian dibuat lebih telus kerana pelantikan orang yang dipercayai dan proses pengiraan undi disiarkan secara langsung.

Daftar pemilih juga sudah dibersihkan di mana seramai 348,098 individu yang meninggal dunia berdasarkan daftar pemilih dikeluarkan.

“Keputusannya mengundurkan diri memang mengecewakan. SPR menikmati kepercayaan masyarakat yang lebih besar di bawah kepimpinannya bersama anggota SPR yang lain,” katanya.

Azhar meletakkan jawatan minggu ini selepas beliau dicalonkan untuk menggantikan Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu apabila Parlimen bersidang semula pada Isnin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan usul pada 13 Julai untuk menggantikan Ariff dan timbalannya Nga Kor Ming.

“Jawatankuasa Pembaharuan Pilihab Raya (ERC) dibentuk oleh kerajaan PH untuk meninjau dan membuat cadangan yang relevan untuk reformasi pemilihan.

“ERC sudah diserahkan kepada perdana menteri pada Januari 2020 dan laporan lengkap akan diserahkan pada Ogos,” katanya.

Khoo meminta Muhyiddin untuk membuat laporan terbuka jika beliau komited terhadap reformasi pilihan raya.

Beliau juga menyeru semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, SPR, parti politik, dan masyarakat sivil untuk terus melanjutkan proses reformasi pilihan raya.

“Pembaharuan pilihan raya harus menjadi isu bipartisan yang diperjuangkan oleh semua rakyat Malaysia kerana pilihan raya dalah inti dari demokrasi kita,” katanya. – 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen