Perkenal semula GST untuk rangsang ekonomi, kata pusat penyelidikan


Sheridan Mahavera

Ahli ekonomi mencadangkan GST diperkenalkan semula bagi membantu menaikkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – Gambar AFP, 10 Julai, 2020.

PUTRAJAYA perlu memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk membantu mengumpul semula pendapatan apabila ekonomi pulih selepas 2021, kata badan pemikir ekonomi.

Ini adalah salah satu cadangan Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) mengenai apa yang seharusnya menjadi rancangan kerajaan bagi jangka sederhana dan panjang untuk membangun dan menggiatkan semula ekonomi selepas dilanda wabak Covid-19.

Sebagai langkah jangka pendek untuk membantu perniagaan mengatasi kesan Covid-19, Putrajaya juga harus mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai korporat sebanyak 2% berbanding 17% bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta 24% untuk syarikat lain.

Cadangan lain termasuk meneruskan pembaharuan institusi untuk memperkukuh ketelusan dan tadbir urus yang baik seperti melaksanakan tender terbuka bagi semua projek sektor awam, kata Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie.

Putrajaya juga mesti mendorong perniagaan untuk terus ke arah digitalisasi dan industri 4.0 kerana e-dagang dan automasi akan membantu kemajuan Malaysia untuk bersaing dengan negara lain dari segi perdagangan antarabangsa.

“Penting untuk mengembalikan keyakinan pengguna dan pelabur terhadap ekonomi dengan memastikan kestabilan politik,” kata Lee dalam taklimat “Second Quarter Economy Tracker 2020” SERC.

“Kesinambungan dasar dan pembaharuan yang bermakna harus diutamakan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan kelestarian ekonomi untuk mendorong pemulihan.

“Kerajaan juga perlu mengelak melakukan perubahan polisi yang merugikan perniagaan dan membimbangkan pelabur. Langkah yang wajar dan kesungguhan yang kuat mesti ada untuk mengatur semula agenda pembangunan negara kita.”

Langkah pengurungan dilaksanakan banyak negara besar di seluruh dunia dan penggantungan perjalanan udara untuk mengekang Covid-19 dijangka menyebabkan ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif 4.9%, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia lebih buruk berbanding negatif 3% yang diramalkan oleh IMF pada April, kata Lee.

Pandemik Covid-19 menjejaskan ekonomi banyak negara besar di dunia termasuk Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

Kemelesetan ekonomi dunia akan mempengaruhi Malaysia dan menurunkan kadar pertumbuhan domestik yang diramalkan oleh SERC akan negatif 3% bagi 2020.

Ini memaksa Putrajaya memperkenalkan dua pakej rangsangan, Prihatin dan Penjana, berjumlah RM295 bilion yang merangkumi bantuan tunai untuk membantu isi rumah miskin menangani kehilangan pendapatan kerana langkah pengurungan.

Skim tersebut, yang memerlukan kerajaan mengeluarkan kira-kira RM45 bilion dana awam langsung, juga termasuk skima subsidi upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja mereka.

Skim ini menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan, membantu 10 juta isi rumah yang kekurangan wang tunai dan menyokong sekitar 800,000 PKS, kata Lee.

Bagaimanapun, skim tersebut akan mengakibatkan defisit fiskal negara meningkat dari 5.8% kepada 6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Lee.

Ketika ekonomi mulai pulih, menjelang 2021, Putrajaya harus meneruskan usaha untuk menurunkan defisit ini kepada 4% dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Untuk melakukan ini, kerajaan memerlukan lebih banyak hasil cukai dan bukan cukai seperti dividen lebih tinggi daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.

GST yang diperkenalkan mulai 2015 dan dibatalkan pada Mei 2018, boleh diperkenalkan semula pada 2022 selepas ekonomi berada pada tahap yang lebih kukuh untuk membantu kerajaan mengumpulkan lebih banyak pendapatan.

“Masa yang sesuai adalah penting. Apabila ekonomi lebih stabil dan kukuh, inilah masanya untuk memperkenalkannya semula. Dalam belanjawan akan datang, mungkin ada petunjuk yang GST sedang dipertimbangkan tetapi diperkenalkan dua tahun dari sekarang.”

Lee mencadangkan agar kerajaan bermula dengan kadar lebih rendah dari 3% hingga 4% berbanding 6% pada 2015.

“Untuk memastikan ia tidak membebankan isi rumah B40, kerajaan juga boleh mengecualikan lebih banyak barang yang biasa digunakan daripada senarai cukai.” – 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen