Pendirian liberal punca Anwar sukar dapat sokongan Melayu, kata penganalisis


Bernard Saw

Presiden PKR Anwar Ibrahim dikatakan sukar mendapat sokongan Melayu kerana pendirian serta imej liberal dan sekularnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) hanya ada peluang tipis untuk berkuasa sekiranya Anwar Ibrahim diletakkan sebagai calon perdana menteri, berikutan imej liberalnya yang menyukarkan beliau mendapat sokongan Melayu, kata penganalisis.

Menurut mereka, presiden PKR itu tidak mendapat sokongan masyarakat Melayu kerana musuh politiknya menggunakan isu moral dan imej pro-Barat terhadapnya.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali memberitahu The Malaysian Insight, sekiranya Anwar mendapat sokongan, sudah pasti beliau telah lama mendapat kuasa.

“Saya tidak rasa Anwar ada sokongan untuk menjadi perdana menteri,” kata Mazlan.

Mazlan berkata, imej liberal dan sekular Anwar telah merosakkan peluangnya untuk mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu dan Dr Mahathir Mohamad juga turut menyatakan perkara yang sama.

“Label itu akan memberi kesan terhadapnya. Hanya parti bandar seperti DAP dan Amanah, akan menyokongnya. Itu sebabnya beliau tidak mendapat sokongan pro-Melayu dan Islamis,” katanya.

Bertentangan dengan kepercayaan popular bahawa Anwar seorang yang rasional dan bertoleransi, namun lawannya menggunakan DAP untuk menyerangnya, katanya.

Mazlan berkata, itu merupakan salah satu sebab mengapa parti Islam PAS, yang merupakan bekas sekutu dalam Pakatan Rakyat, memilih untuk bekerjasama dengan Umno.

Menurutnya, isu agama dan kaum masih relevan di Malaysia dan itu sebabnya mengapa Umno dan PAS masih mendapat sokongan Melayu.

Bagaimanapun penganalisis politik itu berkata, Anwar perlu pertahankan prinsipnya, mengekalkan pendirian terhadap rasuah dan meneruskan perjuangan untuk isu ekonomi dan hak asasi manusia.

Walaupun sekutunya, DAP dan Amanah memberikan sokongan kepadanya, ia masih tidak cukup untuk beliau menjadi perdana menteri.

Mazlan berkata, PH mungkin ada peluang mendapat sokongan sekiranya mencalonkan Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, dan menyatakan beliau dicalonkan oleh Anwar, DAP, Amanah dan Dr Mahathir.

“Sekiranya Anwar setuju (pencalonan Shafie), rakannya dalam DAP dan Amanah akan menyokongnya. Dr Mahathir juga akan menyokong dan ini akan membawa kepada gabungan yang lebih kuat, katanya.

Mazlan juga menyatakan penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu dan Warisan tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun katanya, idea untuk meletakkan Shafie sebagai calon perdana menteri mungkin berhasil.

Sementara itu, Dr Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PH mungkin sukar untuk meraih lebih daripada separuh sokongan di Parlimen.

“Sekiranya Shafie dicalonkan, mungkin akan dapat lebih daripada separuh, malah jika Mukhriz Mahathir diletak sebagai calon pun mungkin tidak sampai separuh sokongan.”

Katanya, Warisan mungkin memilih untuk terus mengekalkan kuasa di Sabah dan tidak menyokong PH di peringkat persekutuan sekiranya mereka merundingkan semula cadangan Shafie sebagai perdana menteri dan mencadangkan jawatan lain untuknya.

Ahli politik Sabah akan memilih untuk kekal memerintah sebagai ketua menteri sekiranya memilih untuk tidak ke peringkat persekutuan.

“Tidak mungkin beliau akan menerima jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan pasti akan teruskan sebagai ketua menteri Sabah,” kata Oh.

“Jadi sama ada jawatan perdana menteri atau ketua menteri Sabah, beliau tidak akan menerima jawatan lain.”

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei menyatakan Muafakat Nasional secara prinsip bersetuju mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pensyarah Jabatan Sains Politik itu berkata, Umno dan Bersatu sudah berunding calon pilihan untuk jawatan perdana menteri, walaupun situasi dalam Perikatan Nasional adalah stabil.

“Sebelum Umno dan Bersatu berunding, wujud ketidakpastian. Kini semuanya stabil.

“Walaupun sekiranya PH mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, sukar untuk mereka berkuasa semula di peringkat persekutuan. Mereka hanya tidak cukup sokongan,” tambah Lau. – 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen