Pemberontak Yaman dakwa bekas presiden Ali Abdullah Saleh terbunuh 


Bekas presiden Yaman Ali Abdullah Saleh mentadbir Yaman lebih tiga dekad sebelum meletakkan jawatan pada 2012. – Gambar EPA, 4 Disember, 2017.

PEMBERONTAK Huthi pada Isnin mendakwa bekas presiden Ali Abdullah Saleh terbunuh dalam pertempuran di Sanaa berikutan kejatuhan sekutunya dengan pemberontak. 

Dakwaan itu yang masih belum dapat dipastikan kesahihannya, timbul selepas perang saudara yang berlarutan sejak sekian lama di Yaman.

Pertempuran sengit dilaporkan berlaku di bandar berkenaan antara pasukan yang setia kepada Saleh dan pemberontak Syiah yang disokong oleh Iran, yang sama-sama menjatuhkan kawalan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa tiga tahun lalu. 

Mengambil kesempatan terhadap kekecohan itu, Presiden Abedrabbo Mansour Hadi, yang kerajaannya mendapat sokongan pakatan tenetra yang diketuai Arab Saudi, mengarahkan tenteranya maju ke ibu negara itu.

Menteri dalam negeri di bawah kawalan Huthi mengumumkan kemaian Saleh di stesen televisyen pemberontak Al-Masirah. 

Kenyataan yang dibaca di saluran itu mengumumkan “tamatnya krisis militan”, merujuk kepada penyokong bersenjata Saleh, dan “pembunuhan pemimpin mereka dan sejumlah penyokongnya”. 

Video yang diberikan kepada AFP memaparkan pemberontak menunjukkan mayat yang didakwa sebagai Saleh, mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibaluti selimut.

Jurugambar AFP yang cuba memasuki kediaman Saleh di selatan Sanaa pada Isnin mendapati ia dikawal oleh pemberontak Huthi dan dihalang daripada memasukinya. 

Rumah terbabit dilihat mengalami kerosakan akibat pertempuran. – AFP, 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen