SPRM jamin siasat bekas setpol Mat Sabu ikut prosedur


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menegaskan kes berkenaan disiasat secara profesional mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard yang ditetapkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

AGENSI antirasuah memberi jaminan siasatan ke atas bekas setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu berhubung kontrak RM56 juta dijalankan mengikut prosedur.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan suspek berusia 49 tahun itu dihadapkan ke majistret semalam dan ditahan reman enam hari untuk siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya juga menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa dan ruang untuk siasatan.

“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan adalah mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard yang ditetapkan. Siasatan akan dijalankan secara profesional,” tegasnya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati terhadap tindakan ini, pihak terbabit boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan yang difikirkan wajar.

“SPRM akan tetap meneruskan siasatan ini sehingga selesai secara profesional dan adil mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan,” katanya.

Parti Amanah semalam mempersoal tindak-tanduk pasukan SPRM yang membuat serbuan di ibu pejabat parti itu berhubung siasatan terbabit.

Parti itu kesal kerana penggeledahan dilakukan tanpa mengemukakan dokumen waran geledah.

“Amanah menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur.

“Amanah memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan,” kata parti itu dalam satu kenyataan.

Bekas pegawai presiden Amanah itu disiasat kerana disyaki menerima suapan untuk kontrak yang dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pada Ogos lepas.

Kontrak itu berkaitan sebuah kementerian yang tidak dinamakan.

Ketika itu, beliau bekerja dengan Mohamad, yang merupakan menteri pertahanan.

Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam membenarkan permohonan SPRM untuk mereman suspek sehingga 13 Julai.

Sumber berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan pada Rabu malam apabila hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.

SPRM juga merampas lebih RM70,000 dan dokumen berkaitan kes itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen