KM Sarawak kata pilihan raya negeri ‘lambat lagi’


Desmond Davidson

Pilihan raya negeri tidak akan diadakan dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

KETUA menteri Sarawak hari ini memberi petanda yang pilihan raya negeri tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

Menjawab soalan berkenaan pilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk pengganti Adun Kalaka, Abang Johari Openg berkata, tidak perlu tergesa-gesa mencari pengganti Abdul Wahab Aziz.

Wahab semalam mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan kerusi yang dipegangnya selama enam penggal sejak 1996 itu.

“Pilihan raya lambat lagi,” katanya, disambut ketawa menteri dan pembantu menteri Sarawak pada sidang media di Sebangan, Samarahan.

Abang Johari adalah presiden PBB, parti komponen terbesar pakatan pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ditanya, kemungkinan masa pilihan raya negeri akan diadakan, beliau menjawab buat masa sekarang banyak lagi isu yang perlu dirunding.

“Seperti jalan ke Sebangan, banyak selekoh dan simpang,” katanya merujuk kepada jalan sepanjang 50k dari Kuching ke wilayah itu.

Mandat kerajaan negeri akan berakhit pada Jun depan tetapi khabar angin bertiup kencang yang pilihan raya negeri mungkin diadakan tahun ini, kemungkinan pada September atau Oktober.

Abang Johari yang menjadi ketua menteri selepas kematian penyandangnya sebelum itu, Adenan Satem pada Januari 2017, akan bertanding pilihan raya dan mempertahankan kedudukannya.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan Adun Batu Lintang See Chee bahawa Kabinet kerajaan negeri tidak menggunakan proses bidaan tender terbuka untuk projek pembinaan lebuhraya dan projek mega lain di negeri.

“Tidak, kita tak buat (abaikan proses tender terbuka).”

Katanya, kementerian pembangunan pelabuhan dan infrastruktur negeri akan memberi penjelasan mengenainya tidak lama lagi.

“Kita masih tak menyerah. Ada prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya ringkas. – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen