SPR sahkan Azhar Harun letak jawatan pengerusi


Azhar Azizan Harun bakal menggantikan speaker Mohamad Ariff Md Yusof yang dilantik semasa pentadbiran PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peletakan jawatan pengerusinya Azhar Azizan Harun yang dicalonkan sebagai speaker baharu Dewan Rakyat.

Kenyataan SPR mengesahkan laporan The Malaysian Insight bahawa peletakan jawatan itu berkuatkuasa 29 Jun.

SPR turut menyebut, peletakan jawatan tersebut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun.

“Selaras dengan Perkara 114 (7) Perlembagaan Persekutuan, Dr Azmi Sharom selaku timbalan pengerusi SPR akan menjalankan tugas pengerusi SPR sehingga pelantikan pengerusi SPR yang baharu,” kenyataan itu dipetik.

Azizan bakal menggantikan speaker Mohamad Ariff Md Yusof yang dilantik semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Timbalan Mohamad Ariff, Nga Kor Ming juga akan digantikan dengan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Usaha tersebut dilancarkan melalui usul dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 26 Jun dan akan dibentang dan dibahas dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon yang merupakan seorang lagi timbalan speaker bagaimanapun tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu.

PH membantah usul tersebut dan merancang untuk menolak melalui tiga peringkat undian.

Muhyiddin turut berdepan undi tidak percaya yang diusul oleh Dr Mahathir Mohamad apabila Dewan Rakyat kembali bersidang. – 9 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen