Pintu Pakatan sentiasa terbuka untuk Dr Mahathir


Khoo Gek San

Nga Kor Ming berkata PH perlu menyatukan semua lapisan masyarakat, terutama penduduk Sabah dan Sarawak, jika ingin kembali berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

PINTU Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka untuk Dr Mahathir Mohamad, kata pemimpin kanan DAP Nga Kor Ming, walaupun gabungan itu memilih Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menterinya.

Nga yang merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat, berkata PH juga perlu menyatukan semua lapisan masyarakat, terutama penduduk Sabah dan Sarawak, jika ingin merebut kembali kuasa sama ada melalui “rampasan semula” atau pilihan raya umum.

Pengerusi DAP Perak berkata gabungan itu juga sedang bersiap sedia untuk berdepan pilihan raya pada separuh akhir tahun ini.

Dalam wawancara bersama media berbahasa Cina, Nga berkata PH mesti bekerjasama dengan semua kuasa yang seiring dengan prinsip dan perjuangan mereka.

“PH mesti selalu berpegang kepada prinsip dan pendiriannya. Selagi Dr Mahathir menyokong pendirian kita, mengapa kita harus menutup pintu kepadanya?” kata Nga.

DAP bersama Amanah dan PKR adalah parti komponen PH pada 6 Julai menamakan presiden PKR Anwar sebagai perdana menteri pilihannya jika ia mendapat semula kuasa persekutuan.

Ia susulan rundingan dan perbincangan selama berminggu-minggu antara parti dalam PH dan sekutunya Parti Warisan Sabah (Warisan) serta puak Bersatu diketuai oleh Dr Mahathir, perdana menteri PH dari Mei 2018 hingga Februari 2019.

PH yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, digantikan pada akhir Februari oleh puak Bersatu yang setia kepada presidennya Muhyiddin Yassin dan ahli Parlimen PKR yang menyokong bekas pemimpin nombor dua parti Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin dan Azmin kemudian membentuk pakatan pemerintah Perikatan Nasional (PN) dengan bekas pesaing politik Umno, PAS dan GPS.

Dr Mahathir dan Anwar berusaha mendapatkan sokongan mencukupi daripada majoriti 222 kerusi ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk membolehkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibuat.

Tetapi keduanya tidak bersetuju dengan pilihan calon PM untuk inisiatif ini yang disebut “PH Plus”, dengan Dr Mahathir mencadangkan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dan Anwar mencalonkan dirinya.

Dengan keputusan 6 Julai, PH juga memberi kuasa kepada Anwar untuk berunding dengan Warisan dan parti Malaysia Timur yang lain mengenai prospek untuk melakukan “rampasan semula”.

Nga berkata walaupun PH Plus tidak berjaya, partinya perlu membina pakatan pilihan raya yang efektif untuk bertanding menentang PN pada pilihan raya akan datang.

Ini supaya parti PH seperti DAP dan PKR tidak bertanding melawan Warisan, yang kini memerintah Sabah.

“PH mesti menggabungkan kekuatan parti politik Malaysia Timur, dan belajar daripada budaya keharmonian etnik dan agama mereka, yang kita perlukan.”

“Dan walaupun kita tidak dapat kembali berkuasa dalam jangka masa pendek, ketiga-tiga parti akan bersatu untuk mempersiapkan pilihan raya umum akan datang.” – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen