Mahkamah putuskan RM835,000 disita daripada MCA Pahang jadi milik SPRM


Bede Hong

Hakim memutuskan pihak pihak pendakwaan berjaya membuktikan, wang yang dirampas daripada akaun bank MCA Pahang berasal daripada kegiatan haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung pelucutan hak wang RM835,258.19 yang disita daripada MCA Pahang tahun lalu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, yang wang yang dirampas daripada akaun bank parti itu berasal daripada kegiatan haram.

Wang itu adalah sebahagian sumbangan RM3 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak pada 2013.

“Tidak perlu ada sabitan (terhadap Najib) terlebih dahulu,” kata Jamil, sambil menambah SPRM mempunyai kuasa untuk bertindak di bawah Seksyen 4, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Najib berdepan 42 tuduhan jenayah yang melibatkan lima perbicaraan, tiga daripadanya sedang berjalan. 

Kes itu berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah tinggi dijangka menjatuhkan keputusan bagi kes SRC International, yang menyaksikan Najib menghadapi tujuh pertuduhan jenayah, pada 28 Julai. 

Ahli Parlimen Pekan yang berusia 67 tahun itu boleh dipenjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

MCA berpendapat kesalahan dilakukan oleh Najib mesti dibuktikan terlebih dahulu oleh SPRM. 

Justeru, Najib perlu didapati bersalah kerana salah guna kuasa sebelum agensi antirasuah itu dibenarkan lucut hak wang tersebut. 

Hakim menolak hal ini sebagai syarat yang tidak perlu.

Tidak seperti kes jenayah, yang memerlukan bukti tidak dapat diragukan oleh pihak pendakwaan, pemohon saman sivil hanya perlu membuktikan kes mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Peguam Ben Chan, yang mewakili MCA berkata beliau perlu berunding dengan anak guamnya sama ada akan merayu atau sebaliknya berhubung keputusan hari ini. 

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mewakili pihak SPRM.

SPRM tahun lalu mengemukakan tuntutan lucut hak terhadap 41 responden dalam usaha untuk mendapatkan semula dana kira-kira RM270 juta yang didakwa diseleweng daripada 1MDB. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen