BEBERAPA pertubuhan masyarakat sivil, termasuk kumpulan penyokong kebebasan media, menggesa kerajaan menghentikan semua siasatan terhadap Al Jazeera berhubung dokumentari kontroversinya mengenai Malaysia.
Badan penyiar antarabangsa itu sedang disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan susulan dokumentari 20 minit mengenai pendatang tanpa izin bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.
“Kami berpihak kepada Al Jazeera dan mengutuk keras usaha negara mengintimidasi dan mengancam kebebasan media di Malaysia,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Mereka berkata bimbang dengan penyiasatan polis terhadap media itu yang didakwa menyiarkan laporan tidak baik.
Mereka menambahkan pihak berwajib sebaliknya harus memberikan penjelasan kepada masyarakat atau meminta siasatan dalaman mengenai kemungkinan berlakunya salah pengurusan kuasa atau kebertanggungjawapan.
“Kerajaan sepatutnya mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan kepada laporan tersebut.
“Tindakan wajar oleh kerajaan ketika berita tersebut dikeluarkan adalah mengadakan sidang media dan memberikan penjelasan yang sah dan munasabah untuk mengelak daripada dilihat mendapat manfaat daripada seluruh jentera kerajaan bagi tujuan politik,” kata kumpulan itu.
Mereka menambah kejadian seperti ini meningkat sejak perubahan kerajaan awal tahun ini.
Mereka mengambil contoh siasatan dan tuduhan menggunakan pelbagai undang-undang yang dikenakan terhadap wartawan Tashny Sukumaran, bekas deejay radio Patrick Teoh dan Ketua Pengarang CodeBlue, Boo Su-Lyn. – 8 Julai, 2020.
Berita penuh di sini
Komen